Berita

STR: Langkah kerajaan Pahang pastikan rakyat miliki tanah sendiri

RMS

LIPIS, 12 Ogos 2022 - Tanah yang diterima peserta Skim Tanah Rakyat (STR) adalah langkah Kerajaan Pahang memastikan rakyat di negeri ini mempunyai tanah milik sendiri di masa hadapan. YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata tanah yang diberikan tersebut adalah sebagai langkah pembangunan ekonomi sosial para penerima.

“Tanah ini adalah sumber terhad, dia tak akan bertambah. Jadi kita tak boleh bagi ikut suka sahaja. Jadi kita kena bagi betul-betul, pilih betul-betul, dan hanya orang yang layak sahaja dapat tanah ini. “Tanah ini juga tuan-tuan dan puan-puan jangan jual, tanah ini untuk tuan-tuan, untuk anak cucu tuan-tuan, untuk pembangunan sosial ekonomi tuan-tuan dan puan-puan.

“Kerajaan Negeri nak jaga tuan-tuan dan puan-puan supaya nanti ada tempat berteduh, ada hasil yang boleh dijadikan pendapatan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik Rancangan FELCRA Aur Gading, FELCRA Sungai Temau dan Notis 5A Kampung Relong di Dataran Tok Linggi, Kampung Relong di sini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1, YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Mohd. Soffi Tan Sri Abdul Razak; Ahli Dewan Negeri (ADN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long; dan ADN Cheka, YB. Encik Lee Ah Wong.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FELCRA Berhad, YH. Dato’ Mat Roni Zakaria; dan Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim. Beliau berkata sekiranya peserta tanah STR ini menjual tanah yang diberikan Kerajaan Negeri ini, hasrat Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat tidak akan tercapai.

“Kalau tanah ini dijual, tak ada makna Kerajaan Negeri bagi. Sebab itulah Kerajaan Negeri telah keluarkan dasar, siapa yang jual tanah ini, kita senarai hitamkan,” katanya. Kerajaan Negeri telah menyerahkan Notis Borang 5A STR melibatkan empat kelompok peserta iaitu di Kampung Relong Fasa 1, Mukim Telang seramai 44 orang peserta bagi tujuan pertanian dusun; STR Kampung Relong Fasa 2, melibatkan 47 orang peseta bagi tujuan pertanian dusun; STR Kampung Relong Fasa 3, melibatkan 46 orang peserta bagi tujuan pertanian dusun; dan STR Kampung Relong Fasa 3 melibatkan 38 orang peseta bagi tujuan pertanian dusun.

Penyerahan suratan hak milik hari ini adalah seramai 175 orang dan penerima notis seramai 138 orang manakala seramai 37 orang lagi masih dalam proses mendapatkan kebenaran untuk memiliki tanah. 


Sumber - PAHANGMEDIA

Oleh : Ain Nadhirah Basha

Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 2 kali.


Kembali ke Atas