Berita

Sidang Dewan Negeri : Penerokaan Tanah Di Chegar Perah dijadikan Skim Tanah Rakyat

RMS

KUANTAN, 9 Disember2021 - Kerajaan Pahang telah berbincang bersama pihak FELDA berhubung penerokaan tanah tanpa kebenaran Pihak Berkuasa Negeri di Chegar Perah, Lipis untuk menjadikan tanah-tanah tersebut di bawah Skim Tanah Rakyat (STR). Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah berkata, kerajaan juga telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi 45 buah rancangan FELDA dengan mengekalkan Organisasi Jawatankuasa Rancangan (JKKR) sedia ada.

 
“Kerajaan juga berhasrat memperkukuhkan dan menjamin asas ekonomi dengan melaksanakan langkah-langkah strategik pertumbuhan ekonomi untuk rakyat Pahang termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS),” katanya.

Beliau berucap demikian pada penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
 
Berhubung isu kenaikan harga sayuran baru-baru ini, YB. Dato’ Haji Nazri menafikan ia berkaitan dengan kadar cukai tanah yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.
 
“Kenaikan harga sayuran adalah berpunca daripada kenaikan harga racun, baja dan juga peralatan pertanian lain yang berkemungkinan hasil daripada rantaian kartel racun, baja dan seumpamanya,” katanya.
 
Justeru, kerajaan telah melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutamanya pengguna di kalangan berpendapatan rendah.
 
Usaha ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada masyarakat pengguna untuk merancang pembelian dan membuat pilihan yang bijak bagi mengurangkan bebanan perbelanjaan isi rumah masing-masing. – PAHANGMEDIA

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 10 kali.


Kembali ke Atas