Berita

Proses naiktaraf menara telekomunikasi Kampung Relai dijangka selesai tahun hadapan

RMS

LIPIS, 22 Julai 2021 - Kerajaan Pahang dalam proses menaik taraf menara telekomunikasi di Kampung Relai menggunakan teknologi gentian optik bagi menggantikan teknologi sedia yang dijangka selesai sepenuhnya tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata sebanyak tujuh buah menara baharu telah dirancang untuk dibina di dalam kawasan Dewan Negeri (DN) Cheka di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang bermula September 2021 dan dijangka siap secara berperingkat antara Mac hingga Jun 2022.

“Susulan laporan Berita Harian mengenai kisah sekumpulan pelajar dari Kampung Relai, Kerambit di Lipis yang terpaksa mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di atas bukit akibat capaian internet lemah, ingin saya maklumkan disini bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Pahang dan Kerajaan Pahang telahpun mengadakan beberapa siri lawatan ke kampung berkenaan sebelum ini dalam usaha meningkatkan lagi telekomunikasi dan internet di situ.

“Lawatan tersebut termasuklah lawatan ke lokasi menara yang sedia ada di kampung tersebut pada bulan Jun 2021 lalu untuk melaksanakan ujian tahap liputan termasuk ujian menggunakan teknologi VSAT akan dinaik taraf menggunakan teknologi gentian optik.

“Kerja-kerja awal naik taraf iaitu siasatan teknikal tapak (Technical Site Survey) telahpun bermula sejak awal Julai 2021 dan kerja naik taraf dijangka siap sepenuhnya pada penghujung suku pertama 2022,” katanya.

Beliau berkata untuk sementara waktu, pihaknya telah mencadangkan kepada SKMM untuk menggunakan langganan perkidmatan internet broadband satelit.

“Program ‘Connectme’ bukanlah projek di bawah seliaan SKMM, ia adalah pakej internet dari syarikat telekomunikasi dengan bayaran tertentu dimana ia menawarkan perkhidmatan oleh Measat dan menggunakan teknologi VSAT (Satelit). Namun cadangan ini boleh digunapakai untuk sementara waktu dikala kita menunggu kerja-kerja menaiktaraf menara telekomunikasi siap pada penghujung Mac 2022 nanti.

“Disamping itu ingin saya maklumkan di sini bahawa di Kerambit juga terdapat Pusat Internet Komuniti (PIK). Ianya ditutup sementara ketika PKP ini namun wifi internet di PIK ini masih dibuka dan ianya berfungsi dalam lingkungan lebih kurang 200 meter. Ini juga dapat memudahkan pelajar-pelajar di sekitar kawasan berhampiran menggunakan fasiliti wifi internet disini,” katanya.

Menurut beliau, dengan kerja naik taraf menara telekomunikasi ini ianya akan menyediakan capaian perkhidmatan internet jalur lebar 4G kepada penduduk berbanding hanya perkhidmatan 2G dan 3G sahaja buat masa ini.

“Turut dilaksanakan ialah kerja-kerja naik taraf ke atas 30 stesen pemancar sedia ada di DN Cheka kepada rangkaian 4G termasuk sebuah stesen pemancar di Kampung Relai. Kerja-kerja naik taraf berkenaan akan bermula secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung Mac 2022. Daripada jumlah ini, dua buah menara iaitu di Kampung Sungai Lik dan Kampung Ridan telah siap dan mula beroperasi pada awal Jun 2021.

“Dalam pada itu, sebanyak 2,000 buah premis juga akan terlibat dalam kerja-kerja naik taraf infrastruktur jalur lebar tetap daripada teknologi berasaskan kabel tembaga kepada rangkaian gentian optik.

“Ini bagi membolehkan capaian jalur lebar tetap dengan kelajuan Gigabit disediakan. Inisiatif ini telah bermula semenjak suku pertama 2021 dan dijangka siap secara berperingkat menjelang suku kedua 2022 bergantung kepada ketersediaan infrastruktur sedia ada,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Pahang sentiasa komited untuk meningkatkan kelajuan dan tahap capaian internet di seluruh negeri ini khususnya di kawasan luar bandar.

“Perkara ini amat diambil berat oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail sendiri.

“Saya juga telah meminta agar semua kepimpinan di Lipis termasuk di Pejabat Daerah, Penghulu, Ketua Kampung mahupun pemimpin masyarakat Orang Asli untuk membuat segera laporan kepada SKMM dan kepada saya berkenaan telekomunikasi dan liputan internet di kawasan masing-masing agar penerangan dan tindakan segera dapat dilakukan,” katanya. 

Oleh : Ain Nadhirah Basha

PAHANGMEDIA

Halaman ini baru sekali dipaparkan.


Kembali ke Atas