Berita

Program vaksinasi orang asli di Pahang semakin memberangsangkan

RMS

LIPIS, 14 September 2021 - Program vaksinasi Orang Asli secara ‘outreach’ yang dilaksanakan sejak Jun 2021 menunjukkan prestasi memberangsangkan dan menjadi batu loncatan kepada pemberian vaksin melibatkan keseluruhan masyarakat berkenaan di negeri ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penerimaan vaksin dalam kalangan Orang Asli kawasan pedalaman juga mendapat sambutan apabila ada dalam kalangan mereka turut datang ke klinik kesihatan dan Pusat Pemberian Vaksin berdekatan bertanyakan tentang vaksinasi.

“Sehingga 13 September lalu, sebanyak 34,978 dos 1 vaksin atau 66.8 peratus, dan 21,546 dos 2 vaksin atau 41.1 peratus telah diberikan kepada masyarakat Orang Asli di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan program ‘outreach’ di Pos Lenjang di Lipis hari ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail melakukan lawatan program ‘outreach’ di Pos Lenjang di Lipis hari ini.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Negeri Jelai berkata, sebanyak 497 dos vaksin jenis CANSINO telah diberikan kepada masyarakat Orang Asli di Pos Lenjang ini.

Beliau juga berkata, peratus liputan vaksin Orang Asli mengikut daerah untuk dos 1 ialah Bentong, 87.8 peratus; Raub, 86.6 peratus; Bera, 80.5 peratus; Rompin, 77 peratus; Temerloh, 72.4 peratus; Kuantan, 67.3 peratus; Cameron Highlands, 65.6 peratus; Maran, 64.5 peratus; Pekan, 56.6 peratus; Jerantut, 50.7 peratus dan Lipis 47.2 peratus.

Peratus liputan vaksin mengikut daerah untuk dos 2 ialah Bentong, 61.9 peratus; Raub, 61.9 peratus; Bera, 60.2 peratus; Kuantan, 56.3 peratus; Maran, 53 peratus; Cameron Highlands, 52.8 peratus; Jerantut, 44.5 peratus; Rompin, 43.1 peratus; Temerloh, 36.9 peratus; Lipis, 35.1 peratus dan Pekan 14 peratus.

Sehingga semalam juga katanya, bilangan OA yang belum divaksinkan ialah seramai 16,917 orang, 11,662 orang daripadanya ialah masyarakat OA pinggiran manakala selebihnya, 5,255 masyarakat OA pendalaman.

Secara keseluruhan sehingga semalam kata Dato’ Sri Wan Rosdy lagi, jumlah penduduk Pahang yang telah menerima dos 1 ialah 953,928 orang atau 81.1 peratus daripada sasaran 1.175 juta penduduk dewasa berumur 18 tahun dan ke atas. Seramai 686,205 orang atau 58.4 pula telahpun lengkap menerima vaksin.

Sehingga semalam juga, 1.103 juta atau 83.7 peratus daripada sasaran penduduk dalam kalangan dewasa berumur 18 tahun dan ke atas di negeri ini, telah berdaftar melalui aplikasi MySejahtera. 

Sumber – PAHANGMEDIA

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 4 kali.


Kembali ke Atas