Berita

PKPP sumbang rm620,200 bantuan Aidilfitri kepada peserta tujuh rancangan sosial

RMS

LIPIS, 17 April 2022 - Bantuan Aidilfitri kepada peserta di tujuh buah Rancangan Sosial Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) di harap dapat meringankan beban setiap penerima. YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan Hari Raya Aidil Fitri kepada Peserta Rancangan Sosial PKPP merupakan salah satu tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap peserta-peserta rancangan sosial PKPP bagi meringankan beban perbelanjaan mereka.

“Kali ini, PKPP telah memperuntukkan sejumlah RM620,200 bagi sumbangan bantuan Hari Raya Aidil Fitri kepada tujuh rancangan sosial di seluruh Pahang yang memberi manfaat kepada 886 orang peserta.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM290,508 akan diagihkan kepada peserta Rancangan Sosial di Lipis dan pada pagi ini, rancangan sosial iaitu Rancangan Penempatan Semula (RPSK) Merapoh, Jerkoh dan Peruang akan menerima bantuan ini melibatkan seramai 415 orang peserta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri PKPP di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.

Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, Pengerusi PKPP, Dato’ Suhaimi Mohd Yunus, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala semantan, YB. Dato’ Nor Azmi Mat Ludin, Ahli Dewan Negeri (ADN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long serta Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.

Selain bantuan ini, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menyampaikan beberapa sumbangan lain iaitu RM1,000 kepada setiap Masjid Daerah Lipis dan Masjid Benta, sumbangan RM750 kepada setiap tujuh buah masjid dalam Rancangan Sosial PKPP di Lipis, dan dua buah masjid di Jelai iaitu Masjid Tanjung Gahai dan Masjid Beletik.

Selain itu sumbangan sebanyak RM7,500 kepada tabung JPKK Rancangan Penempatan Semula Keselamatan (RPSK) Merapoh, Peruang dan Jerkoh, penyerahan dua buah van jenazah kepada Masjid Tanjung Gahai dan Masjid Kampung Beletik yang bernilai RM156,126 setiap sebuah dan penyerahan lori tiga tan bernilai RM146, 000 kepada Koperasi Kampung Dusun Lipis Berhad untuk program Desa Lestari di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLV). 


Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

PAHANGMEDIA

https://pahangmedia.my/pkpp-su...

Halaman ini baru sekali dipaparkan.


Kembali ke Atas