Berita
Perjalanan Kuala Lumpur-Gua Musang 3 jam melalui Lingkaran Tengah Utama (LTU)
LIPIS, 26 Januari 2023 - Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang dahulu dikenali sebagai Projek Central Spine Road (CSR) dapat memendekkan tempoh perjalanan kepada tiga jam daripada Kuala Lumpur ke Gua Musang, Kelantan berbanding 20 jam buat masa ini. Timbalan Menteri Kerja Raya (JKR), YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Haji Mohamad berkata, laluan yang dijangka selesai pada 2026 ini menghubungkan perjalanan negeri Pahang dan Kelantan untuk ke Kuala Lumpur.
“Laluan memberi kemudahan yang sangat penting khususnya kepada negeri Kelantan yang mana kita ketahui bahawa negeri Kelantan dan Pahang ini bercantum untuk menghubungkan perjalanan ke Kuala Lumpur, iaitu tempat utama kita. “Perjalanan ini memakan masa yang begitu panjang dan insyaAllah dengan adanya Lingkaran Tengah Utama ini akan mempercepatkan perjalanan khususnya kepada mereka yang ingin pulang ke kampung dan mereka yang menjalankan aktiviti perniagaan.
“Kalau jalan yang ada sekarang ini boleh mengambil masa antara 18 ke 20 jam,” katanya pada sidang media selepas Tinjauan Timbalan Menteri Kerja Raya ke Projek Lingkaran Tengah Utama Seksyen 3J, Lipis dan Menaiktaraf FT 64, Jalan Benta-Jerantut-Maran, di Kampung Relong, di sini.
Turut hadir, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Timbalan Ketua Setiausaha Sektor Dasar dan Pembangunan KKR, Dato’ Zahrul Hakim Abdullah; Pemangku Timbalan Ketua Pengarah JKR (Sektor Infrastruktur), Dato’ Ir. Zulkipli Haji Nasri; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang, YH. Dato’ Ir. Hafizah Zakaria; dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long.
Menurut beliau lagi, projek yang menelan belanja sebanyak RM10 bilion keseluruhan ini dijangka akan menerima kira-kira 2 juta pengguna pada musim puncak. “Kalau sekarang ini mengikut survey, lebih kurang 2 juta kalau masa peak season (waktu puncak). Maknanya pada musim-musim bercuti, perayaan. “Dan kalau siap Lingkaran Tengah Utama ini ia boleh menjimatkan begitu banyak masa, jimat dari segi jarak, bila dah jimat jarak jimatlah minyak,” katanya. – PAHANGMEDIA
https://pahangmedia.my/perjala...
Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Mahathir Ali
Kembali ke Atas