Berita

Penduduk terputus hubungan selepas jambatan dinaiki air

RMS

LIPIS, 13 Julai 2021 - Penduduk di beberapa buah kampung di daerah ini terputus hubungan selepas banjir berlaku sejak semalam. Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Lipis, Kapten (PA) Mohd Nor Azhar Yusof berkata, limpahan air banjir di kawasan Raub menyumbang kepada trend peningkatan air di Sungai Lipis.

“Terdapat beberapa buah kampung terputus hubungan di sekitar Lipis antaranya ialah Kampung Binjai, Kampung Lubuk Kulit, Kampung Beletik dan Kampung Sungai Padi. “Trend air sungai di Kampung Binjai menunjukkan peningkatan berbanding semalam menyebabkan penduduk kampung terpaksa menggunakan bot untuk membeli barang keperluan di bandar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau lagi, pemantauan lanjut di kawasan Kampung Lubuk Kulit, Kampung Beletik dan Kampung Sungai Padi hari ini mendapati laluan utama sudah boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan selepas air sungai menunjukkan trend penurunan. “Pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga telah membuat pemantauan di kawasan-kawasan banjir yang terputus hubungan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

“Tiada pusat pemindahan dibuka dan segala gerak kerja dilakukan bersama Pejabat Daerah dan Tanah, polis, bomba, penghulu serta Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) semua kampung yang terlibat,” katanya. – PAHANGMEDIA

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 2 kali.


Kembali ke Atas