Berita

Penduduk Kampung Relai kini terima talian 4G

RMS

LIPIS, 22 Ogos 2021- Kerja-kerja pembinaan stesen pemancar sementara di Kampung Relai, Lipis kini telah siap sepenuhnya dan beroperasi sejak tiga hari lalu. Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi Dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, penduduk kampung berkenaan kini dapat menikmati internet jalur lebar berkelajuan 4G sekaligus ianya memudahkan pembelajaran anak-anak yang terlibat dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

“Pada 26 Julai baru ini, saya bersama pihak SKMM dan Telekom Malaysia (TM) mengadakan lawatan kerja, turun padang meninjau sendiri kerja-kerja menaiktaraf menara telekomunikasi di kampung tersebut menggunakan teknologi gentian optik yang akan menggantikan teknologi sedia ada yang masih menggunakan Very Small Aperture Terminal (VSAT)

“Kami juga mengadakan perbincangan bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Cheka, YB. Encik Lee Ah Wong dan kepimpinan Kampung Relai bagi menerangkan segala usaha dilakukan Kerajaan Pahang bersama SKMM dalam meningkatkan telekomunikasi dan capaian internet di seluruh Negeri Pahang melalui Pelan JENDELA Fasa 1 (2020-2022) termasuk di Kampung Relai ini,” katanya kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang hari ini.

Beliau berkata, ini jelas membuktikan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail serius dan mengambil berat meningkatkan telekomunikasi dan capaian internet jalur lebar di negeri ini sejak beliau dilantik Menteri Besar bermula pertengahan 2018.

“Dikesempatan ini saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak terutamanya SKMM, Digi, Telekom Malaysia (TM) dan kepimpinan setempat yang terlibat bersama-sama Kerajaan Pahang dalam usaha meningkatkan telekomunikasi dan capaian internet di seluruh negeri Pahang melalui Pelan JENDELA 2020-2022 yang sedang dilaksanakan secara berperingkat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kampung Relai, Encik Mohamad Mad Jali berkata, keputusan membina stesen pemancar sementara ini dapat menyelesaikan masalah capaian internet yang telah lama berlaku di kampung berkenaan.

“Saya rasa gembiralah… Mungkin semua keseluruhan penduduk gembira dan bersyukurlah kerana kita boleh selesaikan masalah (capaian internet) ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berterima kasih kepada Kerajaan Pahang kerana dapat memberikan keputusan segera dalam menyelesaikan masalah capaian internet di kampung ini. 


Oleh: Mahathir Ali-PAHANGMEDIA

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 7 kali.


Kembali ke Atas