Berita

Penduduk Kampung Relai bersyukur pembinaan stesen pemancar sementara

RMS

LIPIS, 27 Julai 2021 - Penduduk Kampung Relai mengucapkan syukur dengan pembinaan stesen pemancar sementara di kampung mereka. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kampung Relai, Encik Mohamad Mad Jali berkata keputusan membina stesen pemancar sementara ini dapat menyelesaikan masalah capaian internet yang telah lama berlaku di kampung berkenaan.

“Saya rasa gembiralah. Mungkin semua keseluruhan penduduk gembira dan bersyukurlah kerana kita boleh selesaikan masalah (capaian internet) ini.

“Saya rasa masalah ini perkara besar, terutamanya pada zaman sekarang, dalam musim PDPR (Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah) ini, ia menimbulkan masalah kerana ada pelajar-pelajar ini yang mengikuti PDPR sampai malam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) pada Program Lawatan Menara Telekomunikasi dan Bertemu Pengadu dan Pemimpin Kampung Relai, di sini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff; Pengarah Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) Pahang, Tuan Haji Mohd Faisal Md Nor; dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Cheka, YB. Encik Lee Ah Wong.

                                                                                                       Pelajar SK Kerambit, Nadiyatul Husna Mohd Harun.

Beliau berkata pihaknya berterima kasih kepada Kerajaan Pahang kerana dapat memberikan keputusan segera dalam menyelesaikan masalah capaian internet di kampung ini. “Saya berterima kasihlah kepada pihak SKMM, Kerajaan Negeri kerana terlibat hari ini dalam menyelesaikan masalah (capaian) internet di Kampung Relai ini,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar SK Kerambit, Nadiyatul Husna Mohd Harun, 12, berkata dia bersyukur dengan berita pembinaan stesen pemancar sementara yang akan memudahkan urusan pembelajaran mereka. “Sekarang untuk PDPR, saya kena keluar, untuk cari line internet. Tapi kalau dah ada (capaian) internet, saya rasa bersyukur dan gembira sebab dah tak payah nak keluar rumah.

“Tambah pula, saya dan adik beradik saya dapat belajar dengan lebih selesa,” katanya yang mempunyai empat adik beradik yang kesemuanya masih belajar. -PAHANGMEDIA

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Mahathir Ali

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 7 kali.


Kembali ke Atas