Berita

PEDi dicadang jadi platform hebahan program di Pahang

RMS

LIPIS, 08 Februari 2023 - Kerajaan Negeri mencadangkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggunakan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di seluruh negeri ini sebagai platform hebahan segala pelaksanaan yang dilakukan di Pahang kepada orang ramai. Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Encik Fadzli Mohamad Kamal berkata ini bagi memastikan segala aktiviti dan inisiatif yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Pahang dapat dihebahkan.

“Saya dah bincang dengan Pengarah MCMC Pahang, Encik Faisal, kalau boleh PEDi selepas ini membantu pihak Kerajaan untuk menyebarkan atau mempromosi inisiatif-inisiatif serta pendekatan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pahang. “Dengan adanya 111 PEDi di seluruh Pahang, saya rasa boleh membantu (hebahan ini). Saya juga telah meminta pengurus PEDi untuk berhubung dengan lebih ramai potensi kelompok-kelompok dalam masyarkat bagi memastikan lebih ramai lagi memperoleh manfaat daripada kewujudan PEDi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat PEDi Sungai Koyan dan mendengar taklimat ringkas berkenaan operasi dan perkhidmatan yang dijalankan di PEDi. Turut hadir Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Pahang, Encik Mohd Faisal Md Nor. Menurut beliau lagi, bagi memastikan perkara ini dapat dijalankan dan digunapakai oleh semua PEDi di negeri ini, pihaknya akan berhubung secara terus dengan kordinator daripada pihak MCMC yang menyelia pusat ini.

“PEDi ini dibawah seliaan MCMC, dan dibawah MCMC ini ada kordinator. Dan saya akan minta pegawai saya berhubung secara terus dengan kordinator ini bagi menyalurkan apa-apa maklumat, hebahan yang kita nak buat berkaitan Kerajaan Negeri. “Ini bagi memastikan semua 111 PEDi di negeri ini secara serentak sahut dan bekerjasama memandangkan di sini (PEDi) capaian internet yang ada cukup bagus. “Ini kita akan pastikan hebahan ini dapat disampaikan bukan sahaja kepada ahli tapi kita akan minta mereka hebahkan kepada segala saluran dan rangkaian yang mereka ada,” katanya. -PAHANGMEDIA

Oleh : Ain Nadhirah Basha

https://pahangmedia.my/pedi-di...

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 2 kali.


Kembali ke Atas