Berita

PAIP tambah 50 peratus kapasiti air bersih di LRA Merapoh

RMS

KUANTAN, 23 April 2022 - Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dalam proses menambah kapasiti pengeluaran air bersih di Loji Rawatan Air (LRA) Merapoh, Lipis sebanyak 50 peratus melalui kerja menaiktaraf pam air bersih. Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, YBhg. Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata projek bernilai RM464,700 ini telah mula dijalankan bermula 21 Februari lepas.

“Projek ini akan memberi tambahan sebanyak 50 peratus kapasiti pengeluaran air bersih dari 100 meter padu sejam kepada 150 meter padu sejam. “Setakat ini peralatan atau kelengkapan aset baharu yang telah sampai ke LRA Merapoh adalah panel kawalan motor dari jenis Variable Speed Drive, kabel elektrik, injap-injap, paip sedutan dan paip hantaran pam serta kelengkapan paip yang berkaitan.

“Manakala, pam air bersih akan menjalani Ujian Penerimaan Pengilangan (Factory Acceptance Test – FAT) di kilang pengeluar pam di luar negara pada 25 April ini,” katanya. Tambah beliau lagi, projek yabg dijangka selesai sepenuhnya pada Mei ini akan memberi manfaat kepada penduduk di sekitar Taman Berkat, Kampung Mentara, Kampung Kubang Rusa, Kampung Teluk Gunung dan Kampung Berhamah. 


PAHANGMEDIA

https://pahangmedia.my/paip-ta...

Halaman ini baru sekali dipaparkan.


Kembali ke Atas