Berita

PAIP peruntuk RM10.7 juta selesai masalah bekalan air tiga kampung di Lipis

RMS

LIPIS, 24 Ogos 2022 - Kerajaan Pahang melalui Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) memperuntukkan sebanyak RM10.7 juta bagi pelaksanaan tiga projek untuk menyelesaikan masalah air di Kampung Lubuk Kulit, Kampung Beletik dan Kampung Sungai Padi. Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, YBhg. Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, satu daripada tiga projek berkenaan telah selesai dilaksanakan manakala dua projek lagi sedang dalam pelaksanaan.

“Ini melibatkan kerja menaiktaraf pam in-line booster di Program Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) Beletik dengan 42 pemegang akaun bernilai RM100,000 yang telah pun mula beroperasi pada bulan ini. “Kemudian kita juga dalam proses menaiktaraf jajaran paip sedia ada di Kampung Sungai Ular sepanjang 4 kilometer yang melibatkan 361 akaun dengan kos sebanyak RM1.6 juta yang dijangka selesai pada September 2023. “Satu lagi projek ialah menaiktaraf paip yang lebih besar dari Simpan Kampung Lubuk Kulit ke Kampung Sungai Padi sejauh 20 kilometer melibatkan 378 pemegang akaun dengan kos sebanyak RM9 juta yang dijangka selesai pada Oktober 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program CSR Kerajaan Negeri Pahang dengan Kerjasama PAIP di Dewan Orang Ramai Kampung Lubuk Kulit di sini. Turut hadir, Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar Pahang, Encik Fadzli Mohamed Kamal. Menurut beliau, ini melibatkan agihan daripada Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Betong yang melibatkan 3,724 akaun pengguna. “LRA Bukit Betong ini mengagihkan bekalan air ke Bukit Betong, Kampung Aur Gading, Kampung Keledek, Kampung Sungai Ular, Kampung Berchang, Padang Tengku, Kampung Gua, Kampung Bapong.

“Namun demikian terdapat kekerapan berlakunya paip pecah di dua kawasan iaitu di Kampung Keledek – RTP Sungai Keledek, dan Kampung Lubuk Kulit – Kampung Beletik,” katanya. Tambah beliau lagi, dengan projek yang telah selesai dan sedang dijalankan ini diharapkan dapat menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan ini. “Ia diharapkan dapat menyelesaikan gangguan bekalan air akibat kekerapan paip pecah di beberapa kawasan.

“Serta ia akan dapat meningkatkan kapasiti air dengan pembesaran saiz paip serta tekanan air yang lebih stabil di kawasan hujung sistem agihan terutamanya di kawasan Kampung Lubuk Kulit, Kampung Beletik, Kampung Sungai Padi dan Kampung Sungai Ular,” katanya. 


Sumber : PAHANGMEDIA

Oleh : Ain Nadhirah Basha 

Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 6 kali.


Kembali ke Atas