Berita

Pahang lancar Projek Rintis Skim Tanah Warisan di Kuala Medang

RMS

LIPIS, 13 Ogos 2022 - Kerajaan Pahang hari ini melancarkan sebuah program pembangunan perumahan iaitu Skim Tanah Warisan (STW) di atas tanah seluas 37 hektar di Tanjung Medang di sini. YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata program perumahan berkonsepkan Rancangan Tanah Kelompok (RTK) yang telah diubahsuai ini merupakan projek perintis bagi program ini. “Kerajaan Pahang hari ini mempromosikan produk terbaharu iaitu Skim Tanah Warisan (STW) yang mana pilot projek kita buat di Kuala Medang.

“Ia dibuat di atas tanah seluas 37 hektar dan kita memberikan kepada mereka yang berjaya pada hari ini seramai 250 orang iaitu 250 lot yang berkeluasan satu lot antara 8,000 kaki persegi sehingga 10,000 kaki persegi,” katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran dan Penyerahan Surat Tawaran Skim Tanah Warisan (STW) Kuala Medang dan Penyampaian Suratan Hak Milik Rancangan FELCRA Kuala Medang di Tapak Skim Tanah Warisan Jelai, Kampung Kuala Medang di sini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda; Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1, YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad; Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB. Dato’ Ramli Dato’ Mohd Noor; dan Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim. Menurut beliau lagi Kerajaan Pahang juga menyediakan semua kemudahan infrastruktur di kawasan STW bagi memudahkan penerima lot di masa hadapan.

“Apa yang menarik Skim Tanah Warisan ini ialah dimana Kerajaan Negeri telah menyediakan lot tapak rumah kemudian semua kemudahan infrastruktur, laluan masuk, perparitan, bekalan elektrik, bekalan air, dan lain-lain lagi. “Cuma mereka yang berjaya mendapat lot ini dikehendaki membayar lebih kurang RM10,000 sahaja dan mereka boleh mencagarkan kepada bank untuk mereka membina rumah.

“Dan mereka dikehendaki membuat rumah dalam tempoh lima tahun. Kita tak mahu kita dah bagi tapak rumah tujuan untuk buat rumah tapi rumah tak dibuat. Dan mereka tidak boleh pindah milik, tidak boleh jual kepada sesiapa pun,” katanya. Beliau berkata Kerajaan Pahang bercadang untuk meneruskan program perumahan ini di seluruh 14 kawasan Parlimen yang ada di negeri ini.

“Selepas ini di Pekan dan kemudian ke daerah-daerah lain. Kita akan bagi keutamaan kepada setiap Parlimen. Kita ada 14 Parlimen, satu Parlimen, satu STW. “Tapi kalau ada kawasan lain yang keperluan mendesak, kita boleh bagi. Ia bukan satu mandatori, itu hanya sebagai asas kita supaya daerah lain berminat, mencari tempat, mencari tanah supaya Skim Tanah Warisan ini dapat kita laksanakan sebab ini memberi manfaat kepada mereka yang mendapat tanah ini,” katanya. 


Sumber : PAHANGMEDIA

Oleh : Ain Nadhirah Basha 

Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 5 kali.


Kembali ke Atas