Berita

Orang ramai teruja meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri YAB Menteri Besar Pahang

RMS

LIPIS, 4 Mei 2022 - Orang ramai khususnya penduduk di sekitar Daerah Lipis, Raub, Bentong dan Cameron Highlands sangat teruja menghadiri Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang diadakan di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Sungai Koyan, di Lipis, semalam. Seorang pengunjung yang juga wakil MCA Bahagian Bentong, Encik Lee Mok Koon berkata, Rumah Terbuka Aidilfitri ini bukan sahaja dapat dihadiri oleh umat Islam yang terdiri daripada kaum Melayu tetapi berbilang kaum seperti Cina, India dan Orang Asli.

“Ini merupakan satu program yang sangat bagus untuk turun padang mesra rakyat, untuk mendekatkan pemimpin dengan rakyat supaya dapat mendengar suara rakyat, memang sangat penting.“Ia juga dapat menyatupadukan pelbagai kaum tidak kira apa sahaja perayaan semua kaum dapat turut serta dan memang sangat bagus”, katanya. Bagi seorang pengunjung dari Kaum Asli pula, Encik Jali Akoi dari Pos Sinderut berkata, dia bersama keluarganya berpeluang sendiri dengan Dato’ Sri Haji Wan Rosdy pada Rumah Terbuka tersebut selain dapat menikmati beraneka makanan yang enak.

“Saya baru kali pertama datang ke majlis seperti ini, di mana semua kaum dapat turut serta dalam satu majlis dan YAB Menteri Besar Pahang juga sangat bagus dan prihatin”, katanya. Manakala bagi Adhwa Fakhira Wafda Abdul Aziz yang berasal dari Raub berkata, dia bersama keluarganya mengambil peluang Rumah Terbuka ini untuk menyambut hari raya selain berkunjung ke rumah sanak saudara.

Malah baginya, sambutan rumah terbuka seumpama ini sememangnya dinantikan oleh umat Islam untuk meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa. “Majlis seperti ini sangat bagus sebab beri peluang untuk orang ramai bertemu dengan KDYMM Pemangku Raja Pahang dan YAB Menteri Besar Pahang dan perayaan Aidilfitri di fasa peralihan endemik ini memberikan sedikit kebebasan kepada orang ramai bertemu di hari raya”, katanya.

Kesemua mereka ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfutri YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang diadakan di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Sungai Koyan di Lipis, semalam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan yang telah dihadiri lebih 10,000 pengunjung.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri 1, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad, Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB Dato’ Ramli Dato’ Mohd Nor, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad, barisan Exco Kerajaan Pahang dan ketua-ketua jabatan.

Pada majlis sama KDYMM Pemangku Raja Pahang dan YAB Menteri Besar Pahang turut menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak dan masyarakat Orang Asli yang hadir. 

Oleh : Fansurina Abdullah PAHANGMEDIA

https://pahangmedia.my/orang-r...

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 13 kali.


Kembali ke Atas