Berita

Kompleks Pentadbiran Daerah Kecil Jelai bernilai RM12 juta akan dibina hujung tahun ini

RMS

KUALA LIPIS, 28 Julai 2022 - Kerajaan Pahang akan membina sebuah pusat Kompleks Pentadbiran Daerah Kecil Jelai bernilai RM12 juta di sini bagi memudahkan penduduk setempat berkaitan urusan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Lipis. YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bangunan yang dibina di atas tapak seluas 0.81 hektar di Jalan Kampung Bukit Betong-Kepong ini akan menempatkan dua blok bangunan empat tingkat dan dua tingkat di mana ia juga akan digunakan sebagai pejabat bagi Pahang Barat Plus.

“Kedua-dua bangunan ini akan menempatkan kaunter bersepadu, bilik pejabat, bilik perbincangan, ruang bekerja, mesin juruwang automatik (ATM), kafeteria dan ruang serbaguna,” katanya di sini hari ini. Beliau berkata, pembinaan kompleks ini dijangka bermula pada hujung tahun ini dan akan mengambil masa selama 24 bulan di mana pembinaannya akan selesai pada awal tahun 2025.

“Kompleks yang dijangka dapat memuatkan 50 pekerja ini juga akan dilengkapi dengan fasiliti awam lain seperti surau, serta tempat letak kereta Orang Kurang Upaya (OKU).“Pembinaan kompleks ini bagi menggantikan Pusat Pentadbiran Daerah Kecil Jelai yang kini beroperasi sementara di Balai Serbaguna Betong.

“Melalui pembinaan kompleks pentadbiran baharu ini, ia akan memberi manfaat kepada penduduk hampir 20 kampung sekitar bagi pembayaran hasil, hak milik tanah serta urusan lain yang sesuai,” katanya. Ia juga dapat membantu menjimatkan masa penduduk kampung daripada berurusan di Pejabat Tanah dan Daerah Lipis di Bandar Lipis yang mengambil masa hampir 40 minit perjalanan. 


Sumber -PAHANGMEDIA

Oleh : Ain Nadhirah Basha

Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

Halaman ini baru sekali dipaparkan.


Kembali ke Atas