Berita
Kewujudan kilang peluru di Kechau Tui kurangkan kebergantungan import
LIPIS, 16 Oktober 2022 - Kewujudan kilang peluru yang kini dalam fasa pembinaan di Kechau Tui Padang Tengku di sini dilihat mampu mengurangkan kebergantungan import bahan senjata itu. YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, fasa pertama kilang melibatkan kawasan seluas 40.5 hektar yang dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun depan ini bakal mengisi sasaran usaha mewujudkan Bandar Pertahanan (Defence City) di kawasan tersebut.
"Sekarang ini kita import seratus peratus peluru daripada negara luar, jadi dengan adanya kilang ni, kita boleh supply peluru untuk kegunaan kita sendiri.. kita tak perlu lagi import dari luar.
"Ini adalah satu usaha yang sangat baik oleh kerajaan Persekutuan dan Kerajaan negeri yang menguruskan hal ehwal tanah dan perkara lain dalam kapasiti Kerajaan Negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Pelancaran Projek Kilang Industri Pertahanan (Kilang Peluru Ketech Asia Sdn Bhd) di Dewan Orang Ramai Kechau Tui, Padang Tengku, hari ini.
Pada acara sama beliau turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan Ketech Asia Sdn Bhd.
Turut hadir Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar I, YB Dato' Sri Haji Abdul Rahman Mohamad, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak,Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, Dato' Mohd Faizal Jaafar, Pengarah Ketech Asia Sdn Bhd, Encik Mohd Nahar Mohd Nasir serta Penasihat Ketech Asia Sdn Bhd, Dato' Mohamed Aizuddin Mohamed Khairi.
Sementara itu, Dato' Sri Haji Wan Rosdy berkata, projek ini juga dapat merangsang ekonomi domestik dan meningkatkan pendapatan negara serta mengurangkan aliran wang keluar, iaitu tanpa kebergantungan syarikat asing sekali gus mengurangkan defisit negara khususnya bagi penjimatan aset serta kelengkapan ketenteraan dan pertahanan.
"Usaha ini adalah untuk pembangunan setempat dan kejayaan menarik pelabur menunjukkan bahawa proses untuk mendapatkan urusan tanah boleh dipercepatkan asalkan memenuhi kehendak asas. Kerajaan Negeri akan pertimbangkan sekiranya ia tidak melangkaui kawasan atau yang telah kita gazetkan hutan simpan atau kawasan tadahan air Kerajaan Negeri.
"Selain itu, secara automatik juga bila dah ada pembangunan dan pelaburan masuk, sudah tentu akan ada kedai dibuka dan 300 orang pekerja yang merupakan penduduk di sini akan memperoleh pendapatan yang akan mereka belanjakannya di sini," katanya.
Menurutnya lagi, kawasan Kechau yang terletak kira-kira 35 kilometer dengan bandar Kuala Lipis merupakan kawasan cukup strategik dipilih untuk projek kilang tersebut kerana berdekatan dengan laluan Central Spine Road (CSR) Lipis ke Bentong kemudiannya dihubungkan oleh Lebuh Raya Karak ke Kuala Lumpur dijangka mengambil masa yang singkat untuk kemudahan pengangkutan alat komponen dan jentera berat. -PAHANGMEDIA
Oleh : Fairus Mohd Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
Kembali ke Atas