Berita

Kerajaan terus bantu masyarakat Orang Asli di daerah Lipis

RMS

LIPIS, 10 Mei 2022 - Kerajaan Pahang meneruskan keprihatinan dan ambil peduli terhadap kebajikan dan keperluan masyarakat Orang Asli di negeri ini menerusi pelbagai penyaluran bantuan kepada golongan terbabit. Ahli Dewan Negeri (ADN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long berkata, pelbagai bentuk sumbangan diberikan sama ada wang ringgit mahu pun pakaian terutamanya ketika umat Islam meraikan Aidilfitri, baru-baru ini.
 
Di atas rasa prihatin tersebut, pihaknya telah mendapat kerjasama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan mengadakan kutipan dana bagi menyediakan sumbangan pakaian raya khususnya kepada anak-anak Orang Asli dari Suku Batek di Kampung Becah Kelubi, Merapoh di Lipis.“Sumbangan ini diberikan supaya dapat sama-sama berkongsi kegembiraan menyambut perayaan Aidilfitri sebagaimana kanak-kanak beragama Islam yang lain.
 
“Pada program sama, kotak Prihatin Aidilfitri Kerajaan Pahang turut diagihkan kepada 49 keluarga yang terlibat,” katanya.  Beliau berkata demikian ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang. Program tersebut turut mendapat kerjasama daripada para sukarelawan daripada UMNO Cawangan Berhamah, golongan belia Kampung Merapoh, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Telok Gunung dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Lipis.
 
YB. Dato’ Mustapa berkata, suku kaum Batek berasal dari suku Negrito yang terdapat di negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan malah sebahagian telah bercampur dengan Orang Asli dari suku Semoq Beri. “Cara hidup suku kaum Orang Asli Batek ini agak ketinggalan berbanding dengan suku kaum Orang Asli Melayu Proto di mana mereka masih mengamalkan tradisi dan adat resam kaum mereka.
 
“Sebelum ini mereka hidup secara nomad iaitu berpindah-randah tetapi kini mereka telah mula menetap di lokasi yang tertentu dengan membina rumah sendiri dengan menjalani kehidupan menerusi mencari hasil hutan sebagai sumber pendapatan,” katanya.  Beliau berharap agar Orang Asli dari suku kaum Batek ini dapat membesar dengan jati diri dan istiqomah sebagai seorang Muslim dalam kehidupan mereka. 


Oleh : Fansurina Abdullah PAHANGMEDIA

Halaman ini belum pernah dipaparkan.


Kembali ke Atas