Berita

Kerajaan Pahang serah kenderaan kepada pegawai daerah

RMS

KUANTAN, 08 Oktober 2021 : Kerajaan Pahang menyerahkan 17 buah kenderaan baharu Proton X70 kepada pegawai-pegawai daerah di negeri ini. Majlis penyerahan kenderaan berkenaan disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di pekarangan Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan kunci kenderaan baharu Proton X70 kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, YH. Dato’ Zakaria Ibrahim di pekarangan Wisma Sri Pahang di Kuantan.

Penyerahan kenderaan serba guna (SUV) ini merupakan fasa pertama daripada dua fasa penyerahan kenderaan baharu bagi menggantikan kenderaan lama yang tidak lagi ekonomikal.

Fasa pertama penyerahan ini melibatkan kesemua 11 pegawai daerah, sebuah kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang, sebuah kepada Jabatan Pertanian Negeri Pahang, sebuah kepada Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, dan sebuah kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang.

Manakala dua buah lagi kenderaan yang diterima hari ini akan diletakkan dibawah pentadbiran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, YH. Dato’ Zakaria Ibrahim.

Fasa kedua penyerahan pula akan melibatkan 11 buah kenderaan pelbagai guna kepada jabatan-jabatan dan bagi kegunaan luar jabatan. – PAHANGMEDIA


Oleh : Ain Nadhirah Basha

Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

Halaman ini baru sekali dipaparkan.


Kembali ke Atas