Berita

Kerajaan Pahang salur RM14.3 juta untuk bidang pendidikan menerusi BPP

RMS

LIPIS, 4 Jun 2022 - Kerajaan Pahang menyalurkan peruntukan sebanyak RM14.3 juta menerusi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022 untuk bidang pendidikan di negeri ini yang melibatkan para pelajar sama ada di peringkat awal persekolahan hingga ke peringkat pengajian tinggi. YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini membuktikan keprihatinan dan kepekaan oleh kerajaan negeri yang sentiasa mengambil berat terhadap aspek pendidikan di Pahang.

“Melalui Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022 yang saya umumkan pada bulan April lalu di Sungai Koyan inilah, hampir separuh daripada peruntukan daripada BPP telah disalurkan untuk bidang pendidikan. “Bantuan ini termasuklah RM100 kepada 25,146 pelajar tahun 1 dengan peruntukan RM2.514 juta, RM100 kepada 2,400 pelajar tahfiz dengan jumlah keseluruhan RM240,000, RM100 tambah nilai talian komunikasi kepada 25,871 pelajar SPM dan STPM berjumlah RM2.857 juta.

“Bantuan sebanyak RM200 kepada 42,701 anak-anak Pahang yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi dengan jumlah RM8.54 juta dan RM200 kepada 700 pelajar di Pusat Penjagaan Anak Yatim dengan peruntukan RM140,000,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Hari Guru Daerah Lipis 2022 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Koyan, Lipis, semalam.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri 1 Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB. Dato’ Ramli Dato’ Mohd Nor, Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato Mohd Hafizi Ibrahim, Pegawai Pendidikan Daerah Lipis, Encik Amin Nollah Lateh dan Pengurus Cawangan Bank Rakyat Lipis, Encik Jamaluddin Mansor.

Pada majlis sama turut disampaikan Anugerah Tokoh Guru Daerah dan Tokoh Kepimpinan Daerah bagi tahun 2022. Dalam ucapannya juga, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri menerusi Yayasan Pahang juga telah membelanjakan RM1.38 bilion yang telah memberi manfaat kepada 1.6 juta penerima khususnya dalam bidang pendidikan.

Jelasnya, daripada jumlah tersebut, seramai 320,043 pelajar telah menerima biasiswa membabitkan peruntukan RM408.2 juta. “Apa yang saya sebutkan ini hanyalah sebahagian daripada pelbagai jenis bantuan yang Kerajaan Negeri salurkan dan bantuan ini dapat ditambah lagi sekiranya pendapatan dan hasil negeri terus meningkat dan hasil yang diperolehi Kerajaan Negeri ini akan dipulangkan semula kepada rakyat,” katanya. 


Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

PAHANGMEDIA

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 11 kali.


Kembali ke Atas