Berita
Kerajaan Pahang prihatin pembangunan pendidikan agama
LIPIS, 17 Februari 2023 - Kerajaan Pahang sangat mengambil berat terhadap pembangunan pendidikan terutamanya pendidikan agama di seluruh Negeri Pahang. YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini sekaligus membuktikan bahawa Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap aspek pendidikan agama Islam. “Ini jelas membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Pahang sangat mengambil berat dan prihatin terhadap institusi pendidikan agama khususnya pembangunan Maahad Tahfiz.
“Buat masa sekarang ini kita mempunyai tiga buah pusat tahfiz yang beroperasi iaitu Tahfiz Profesional di Tanjung Lumpur, Tahfiz Turath di Balok dan juga Tahfiz Kemahiran di Tanjung Lumpur, Kuantan,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyerahan Bangunan Maahad Tahfiz Ar-Rushd yang diadakan di Dewan Maahad Ar-Rushd, Tanjung Gahai di Lipis, petang tadi.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long, Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim, Pegawai Agama Islam Daerah Lipis, Ustaz Mohd Zainudin Zakaria dan Pengetua Maahad Tahfiz Ar-Rushd Tanjung Gahai, Ustaz Muhammad Firdaus Kamarulzaman. Pada majlis sama turut disampaikan bantuan daripada Kerajaan Pahang berjumlah RM65,000 kepada lapan penerima merangkumi bantuan perubatan, pendidikan dan sebagainya.
Maahad Tahfiz Ar-Rushd yang baru sahaja memulakan operasinya kini mempunyai seramai 15 pelajar tingkatan 1 bagi ambilan manakala bagi ambilan kedua pula seramai 15 pelajar lagi akan memulakan sesi pembelajaran mereka pada Mac ini. Kesemua pelajar akan diuruskan oleh empat tenaga pengajar dan kakitangan.
Maahad itu menyediakan pelbagai kelengkapan dan kemudahan bagi memberikan suasana pendidikan kondusif kepada para pelajar. Antara kemudahan yang disediakan adalah lima bilik darjah yang boleh dijadikan dewan, bangunan pentadbiran, surau dan asrama. – PAHANGMEDIA
Kembali ke Atas