Berita

Kerajaan Pahang kenalpasti tapak baharu cawangan sekolah rendah tahfiz di Lipis

RMS

KUANTAN, 25 April 2022 - Kerajaan Pahang telah mengenalpasti tapak baharu bagi pembinaan Sekolah Rendah Tahfiz di Padang Tengku, Lipis. Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, tapak itu telah dipersetujui oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Menurutnya, usaha ini akan dapat membuka banyak ruang yang lebih besar kepada rakyat negeri ini untuk mempelajari ilmu agama secara lebih fokus. “Ini akan dapat memberi ruang yang lebih besar dan peluang yang lebih banyak untuk rakyat di Negeri Pahang untuk belajar di dalam Maahad seumpama ini. “Ini akan membolehkan lebih ramai tokoh-tokoh yang akan lahir dan zahir di negeri Pahang Darul Makmur,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Sumbangan Awal Persekolahan Murid Darjah Satu Sesi 2022 di Auditorium Maahad Tahfiz Negeri Pahang di Kuantan, pagi tadi.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Dr. Haji Zulkifli Haji Ali Al-Hafiz, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, YBhg Encik Abdul Rahim Mohd Yunus, Ketua Pegawai Eksekutif Maahad Tahfiz Negeri Pahang, YBhg Ustaz Mohd Khalil Mohd Zari Al-Hafiz, Pengarah Eksekutif Maahad Gemilang Sdn. Bhd., Ustaz Shahrulkarnain Mohd Nazir dan Pengurus Capaian Pendidikan Bahagian Operasi Yayasan Pahang, Puan Nor Azian Osman.

Pada majlis itu, seramai 95 pelajar tahun satu Sekolah Rendah Tahfiz Negeri Pahang telah menerima sumbangan BPP daripada Kerajaan Negeri berjumlah RM100 setiap seorang pelajar dengan jumlah keseluruhan RM9,500. Pada majlis sama turut disampaikan Biasiswa Yayasan Pahang kepada beberapa pelajar sekolah berkenaan. Sekolah Rendah Tahfiz Negeri Pahang yang baharu sahaja memulakan sesi persekolahannya kini mempunyai seramai 184 pelajar tahun satu dan tahun dua. 

Oleh : Fansurina Abdullah – PAHANGMEDIA

https://pahangmedia.my/kerajaa...

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 9 kali.


Kembali ke Atas