Berita

Kerajaan Pahang kawal jualan tanah demi masa depan anak bangsa

RMS

LIPIS, 17 September 2022 - Kerajaan Pahang berusaha mengekalkan hak Bumiputera ke atas pemilikan tanah di seluruh Pahang dengan mengawal kebenaran menjual tanah-tanah milik Bumiputera. YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan ini dilakukan bagi memastikan anak bangsa pada masa akan datang masih memiliki hak ke atas bumi Pahang.

“Kita kena kawal kerana saya menjangkakan kalau tidak dikawal pasti ramai yang akan menjual tanah-tanah yang telah diberikan kepada mereka”, katanya. Beliau berucap demikian pada Majlis Penyerahan Notis 5A bagi Daerah Lipis di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Lipis, pagi tadi.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad, Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Benta, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak, ADN Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long, ADN Cheka, YB. Encik Lee Ah Wong, Ketua Polis Pahang, YH. Dato’ Sri Ramli Mohamed Yoosuf dan wakil Pegawai Daerah Lipis, Encik Rizal Mustafa.

Pada majlis tersebut kerajaan menyerahkan Pemberimilikan individu melibat tiga kawasan Dewan Negeri (DN) iaitu Jelai, Padang Tengku dan Cheka kepada 59 peserta bagi tujuan pertanian dengan keluasan keseluruhan 73.0942 hektar. Manakala seramai 391 penerima pula diberikan Notis 5A Skim Tanah Rakyat (STR) membabitkan empat kawasan Dewan Negeri (DN) iaitu Jelai, Padang Tengku, Benta dan Cheka.

Pada majlis sama turut disampaikan sumbangan Kerajaan Pahang berjumlah RM90,450 kepada penerima membabitkan peruntukan rawatan perubatan, keusahawanan, membaiki rumah, aktiviti kesukanan, mempertingkatkan kemudahan sekolah dan sebagainya.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, Kerajaan Pahang tidak pernah mengabaikan rakyat di negeri ini dengan menyalurkan pelbagai bantuan dan sumbangan daripada jumlah kutipan hasil negeri yang semakin meningkat.

“Di Negeri Pahang ini saya dengan rakan saya di sini akan memastikan apa yang tuan-tuan minta InsyaAllah Kerajaan Negeri Pahang tidak pernah tidak setuju memberikan bantuan kewangan,” katanya.

Beliau berkata, kutipan hasil terkini di Pahang bagi tahun 2022 telah mencapai RM951 juta dan jumlah ini akan terus bertambah dari semasa ke semasa hingga mencapai sasaran kutipan sebanyak RM1 bilion. – PAHANGMEDIA

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 2 kali.


Kembali ke Atas