Berita

Kerajaan Negeri Pahang sumbang RM20,000 kepada Janusha

RMS

KUANTAN, 17 JUN 2022 : Kerajaan Pahang menerusi Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Rabu lalu bersetuju memberi sumbangan berjumlah RM20,000 berserta sijil penghargaan kepada Pegawai Kadet Kanan (PKK) Janusha a/p Bala Krishnan Muthiah dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Sumbangan kepada anak kelahiran Lipis, Pahang ini adalah sebagai penghargaan atas kecemerlangan beliau menjadi pegawai wanita pertama negara berjaya menamatkan Pengajian dan Latihan Ketenteraan di United States Naval Academy (USNA).

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau amat mengagumi kegigihan Janusha dan juga ahli keluarganya yang lain terutama kedua ibu bapanya yang begitu mengambil berat mengenai masa depan anak-anak sehingga kesemua anak-anak mereka memiliki kerjaya yang hebat. “Sesungguhnya, kejayaan Janusha ini perlu dijadikan satu inspirasi dan motivasi kepada seluruh rakyat Pahang dan Malaysia mengenai bagaimana perlunya kita mempunyai keazaman dan kegigihan untuk berjaya. Sekali lagi saya berharap agar Janusha terus maju dan sukses dalam kerjaya pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Menyentuh mengenai latar belakang Janusha, beliau dilahirkan pada 9 April 1999 di Hospital Lipis dan merupakan anak bongsu daripada tiga beradik. Bapa beliau Balakrishnan Muthiah yang berasal dari Melaka merupakan Penyelia di Hospital Lipis dan bersara pada tahun 2019, manakala ibunya, S. Saraswathy Subramaniam yang berasal dari Bentong merupakan Ketua Penyelia Jururawat Hospital Lipis dan bersara pada tahun 2017.

Dua kakak Janusha iaitu Chandralehkah dan Shamilaa pula berkhidmat sebagai doktor di Hospital Segamat, Johor. Janusha memulakan pendidikan sekolah rendah dari darjah 1 hingga 3 di Sekolah Kebangsaan Paya Pulai, Temerloh dan kemudiannya di Sekolah Kebangsaan Clifford, Kuala Lipis dari darjah 4 hingga 6. Beliau menyambung pendidikan di peringkat menengah di Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan dari tingkatan 1 hingga 5 sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). – PAHANGMEDIA

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 17 kali.


Kembali ke Atas