Berita

Kerajaan Negeri ambil tindakan segera susulan kes serangan gajah di Simoi

RMS

LIPIS, 6 Disember 2022 - Kejadian seorang wanita maut akibat dipijak gajah di Kampung Simoi Baru, Pos Betau Kuala Lipis awal pagi tadi mendapat perhatian Kerajaan Negeri. YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu hantaran di Facebooknya berkata, beliau telah menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan susulan sewajarnya. “Saya berharap agar seluruh keluarga mangsa serangan gajah ini sabar dan tabah menghadapi dugaan ini.

“Saya juga ingin menasihati penduduk di sekitar kawasan Kampung Simoi Baru supaya mengambil langkah berjaga-jaga, jaga keselamatan diri dan keluarga,” katanya. Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa, Wak Angkat Yok Tong, 39, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.Mangsa bersama keluarga tinggal di rumah kayu berdinding buluh yang dikelilingi pokok pisang dan berhampiran kebun getah di kampung berkenaan.

Difahamkan ketika kejadian wanita berkenaan bersama lapan orang lagi ahli keluarganya yang lain sedang tidur dan hanya tersedar selepas mendapati keadaan rumah bergoyang akibat tindakan gajah menarik struktur dinding. Ketika semua ahli keluarganya bertempiaran lari di dalam gelap, mangsa disyaki tidak sempat melarikan diri lalu dipijak haiwan liar tersebut. – PAHANGMEDIA

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 9 kali.


Kembali ke Atas