Berita

KDYMM Pemangku Raja Pahang seru syarikat dan individu berwakaf

RMS

LIPIS, 29 April 2022 -  Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu lebih banyak syarikat atau individu tampil untuk berwakaf di Negeri Pahang. Baginda bertitah, melalui wakaf ini semua pihak dapat berkongsi manfaat dalam kalangan umat Islam seterusnya mendapat kebajikan yang berkekalan.

“Justeru saya mahu lebih banyak syarikat atau individu, lebih-lebih lagi yang mendapat darjah kebesaran Pahang atau melaksanakan projek-projek di Pahang agar turut sama berwakaf serta menyumbang di negeri saya ini,” titah baginda. Baginda bertitah demikian sempena Majlis Berbuka Puasa dan Perasmian Masjid Saidina Umar Al-Khattab Kampung Tanjung Gahai di sini, semalam.

Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad. Sementara itu, baginda berharap rakyat Pahang dapat mengamalkan sifat sederhana khususnya ketika menyambut Aidilfitri ini.

“Berhemahlah kita, kerana kemeriahan Syawal nanti bukan kerana banyaknya kita berbelanja, tetapi bergantung pada keakraban hubungan kita sesama keluarga, jiran tetangga, sanak saudara dan tetamu yang tiba.“Raikan mereka dengan cara sederhana yang penuh dengan mesra dan ramah tetapi tidak perlu borong berbelanja. Jangan sesekali mengikut nafsu dan rasa,” titah baginda. 


PAHANGMEDIA

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 11 kali.


Kembali ke Atas