Berita

Jelai Inn bernilai RM2.4 juta bakal beroperasi dua minggu lagi

RMS

LIPIS, 23 Oktober 2022 : Rumah rehat Jelai Inn di Sungai Koyan dengan kos keseluruhan bernilai RM2.4 juta dijangka dapat beroperasi sepenuhnya dalam tempoh dua minggu lagi. YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini kerana semua kerja-kerja telah pun selesai dan kini sedang dalam proses memasukkan perabot sahaja. “Jelai Inn ini saya dimaklumkan daripada segi untuk mendapatkan perabot sahaja. Dan saya rasa dalam masa dua minggu lagi boleh beroperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Notis 5A STR Tapak Perumahan Generasi Kedua FELDA Sungai Koyan di Dewan Laman Sejahtera, Sungai Koyan. Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Mohd. Soffi Tan Sri Abdul Razak. Beliau berkata Kerajaan Pahang juga telah meluluskan peruntukan bernilai RM1 juta bagi pembelian perabot di rumah rehat ini.

Menurut beliau lagi, pembinaan Jelai Inn di Sungai Koyan ini dapat memberi keselesaan kepada para pelancong yang datang ke kawasan ini. “Majlis Daerah Lipis telah menamakan rumah rehat ini sebagai Jelai Inn di mana kalau ada pengunjung dari luar (datang ke Sungai Koyan) atau mereka yang ingin ke Cameron Highlands mereka boleh menyewa di sini. “Ianya agak lebih selesa berbanding tempat-tempat lain (di Sungai Koyan), dan di Koyan ini tidak ada hotel, tapi kita buat Jelai Inn. “Jadi bolehlah mereka berehat sekejap, nak tidur satu malam, dua malam, sebelum meneruskan perjalanan,” katanya. Jelai Inn yang bersebelahan dengan Dewan Laman Sejahtera Sungai Koyan ini memiliki lapan unit bilik tidur, serta bilik mesyuarat. -PAHANGMEDIA

Oleh : Ain Nadhirah Basha

Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 5 kali.


Kembali ke Atas