Berita

Dua kampung orang asli kawasan DUN Padang Tengku capai imuniti kelompok

RMS

LIPIS, 2 Ogos 2021 - Seramai 110 penduduk Orang Asli yang layak menerima vaksin COVID-19 daripada Kampung Paya Keladi, Chegar Perah dan Kampung Bechah Kelubi, Telok Gunung di sini telah melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin mereka. Ahli Dewan Negeri Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long berkata, ini menjadikan kedua-dua perkampungan Orang Asli terbabit telah berjaya mencapai imuniti kelompok meskipun berlaku penolakan di kalangan penduduk kampung pada awal Program Outreach Vaksinasi (POV) COVID-19 dilaksanakan.
 
“Alhamdulillah, walaupun pada peringkat awalnya berlaku penolakan di kalangan penduduk tetapi akhirnya sejumlah besar penduduk dari kedua-dua kampung ini telah bersetuju untuk menerima vaksin COVID-19. “Insyaa Allah pada bulan Ogos ini penduduk dari Kampung Sungai Garam dan Sungai Sekim pula akan menerima giliran untuk divaksin,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.
 
YB. Dato’ Mustapa sebelum itu telah menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) COVID-19 dan sumbangan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Pahang kepada penduduk di dua buah kampung terbabit selepas kesemua mereka menerima kad vaksinasi COVID-19. Beliau sangat berterima kasih kepada semua pihak yang berusaha untuk mendapatkan persetujuan penerimaan vaksin COVID-19 di kalangan masyarakat Orang Asli yang kebanyakannya menolak pemberian vaksin ini.
 
“Berkat kerjasama dan usaha yang bersungguh semua pihak terutama Pejabat Kesihatan, Daerah (PKD) Lipis, JAKOA Daerah Lipis, Pejabat Daerah dan Tanah Lipis, Penghulu, Ketua Kampung Chegar Perah dan pimpinan setempat termasuklah Tok Batin Harun Anak Kekabu yang menjadi contoh dan ikutan terhadap anak-anak buahnya yang akhirnya turut bersetuju menerima vaksin,” katanya.
 
Beliau berharap lebih banyak perkampungan Orang Asli dapat mencapai imuniti kelompok secepat mungkin sebelum tiba musim tengkujuh yang sering melanda daerah-daerah di Pahang termasuklah daerah Lipis. 


Oleh : Fansurina Abdullah – PAHANGMEDIA

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 34 kali.


Kembali ke Atas