Berita

52 menara telekomunikasi baharu di daerah Lipis bagi meningkatkan telekomunikasi dan internet

RMS

KUANTAN, 1 September 2022 - Daerah Lipis merupakan daerah yang mendapat peruntukan paling banyak dari segi bilangan projek yang dilaksanakan dalam usaha Kerajaan Negeri bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meningkatkan telekomunikasi dan internet di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Sebanyak 52 menara baharu telah ditetapkan untuk dibina di mana sebanyak empat telah dibina pada tahun 2021 lalu iaitu di Kampung Ridan, Kampung Sungai Lik, Kampung Gua Kalung dan Agropolitan Gahai. Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, manakala baki 48 menara lagi kini dalam peringkat perolehan tapak melibatkan 30 tapak di atas tanah Kerajaan Negeri dan selebihnya di atas tanah individu dan korporat.

“Usaha ini telah menampakkan progres termasuk kerja-kerja pembersihan tapak dan pemasangan menara. Kerja-kerja pembinaan menara ini dijangka akan siap secara berperingkat bermula penghujung Oktober 2022 sehingga Mac 2023. "Dalam usaha sama tersebut, sebanyak 143 stesen pemancar sedia ada di Daerah Lipis ini telah siap dinaiktaraf ke rangkaian 4G,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, selain daripada itu, sebanyak 48 Kampung Orang Asli di Lipis kini telah menikmati internet jalur lebar (Tanpa Wayar BWA – 4G) yang menggunakan Teknologi Satelit secara percuma sejak bulan April yang lalu. “Antara KOA tersebut, KOA Teluk Gunung, KOA Kuala Suar Pos Lanai, KOA Bantal Serau, KOA Churuk Pos Lenjang, KOA Simai Baru, Pos Betau dan lain-lain.

“Manakala menara komunikasi baharu akan dibina di beberapa kampung Orang Asli seperti di KOA Sg Garam, KOA Nyamuk, KOA Lanchang, KOA Bertang, KOA Tual, KOA Sg Cherues Lama, KOA Kuala Tidul, KOA Talut, KOA Kuala Tual Baru, KOA Simoi Baru RPS Betai, KOA Cherung, KOA Simoi Lama, KOA Chinchin, KOA Rakoh dan KOA Sg Sekin,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 4,445 premis telahn mempunyai rangkaian gentian optik di Lipis berbanding hanya lapan premis sahaja pada Suku Kedua 2020 iaitu sebelum JENDELA bermula.

“Dengan progres terkini semua pelaksanaan, kadar liputan 4G di kawasan berpenduduk di Daerah Lipis telah meningkat daripada 60.09% pada Suku Kedua 2020 (sebelum JENDELA bermula) kepada 78.48% pada Suku Kedua 2022 ini. Kadar liputan akan terus meningkat apabila semua projek ini siap kelak,” jelasnya. 


Sumber – PAHANGMEDIA

Oleh: Mahathir Ali

Halaman ini baru sekali dipaparkan.


Kembali ke Atas