Berita

29 individu ditahan ceroboh kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai

RMS

LIPIS, 18 Julai 2021 - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah menahan 29 individu termasuk seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Selangor di Kampung Rakoh, Pos Lenjang, Lipis kerana memasuki kawasan hutan simpan tanpa kebenaran. Pengarah JPNP, YH. Dato’ Dr. Mohd Hizamri Mohd Yasin dalam satu kenyataan media berkata, pihaknya dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis telah menahan kesemua individu terbabit sekitar 8 pagi tadi.

“Turut ditahan bersama kumpulan ini adalah Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Teratai yang beralamat di Bandar Mahkota Cheras, Selangor. Turut disita adalah 11 buah kenderaan pacuan empat roda,” katanya. Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua individu ini telah memasuki Hutan Simpan Ulu Jelai pagi semalam bagi memberi bantuan kepada penduduk Orang Asli di situ.

“Hasil siasatan awal mendapati, kumpulan ini telah memasuki Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis sekitar jam 11.00 pagi pada 17 Julai tanpa kebenaran dan dimaklumkan untuk memberi bantuan makanan kepada penduduk Orang Asli Pos Lenjang, Lipis. “Kesemua suspek yang ditahan telah dibawa ke Balai Polis Sungai Koyan untuk saringan kesihatan dan siasatan lanjut dibawah Seksyen 47 dan 88 Akta Perhutanan Negara, masing-masing keperluan permit memasuki hutan simpan serta kuasa menangkap, menyita dan menyiasat oleh pegawai perhutanan,” katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut masih lagi dijalankan bersama pihak PDRM setakat ini. Sementara itu, Ketua Polis Pahang, YDH CP Datuk  Ramli Mohamed Yoosuf ketika dihubungi turut mengesahkan tangkapan berkenaan. “Ada tangkapan seramai 29 orang iaitu melibatkan 21 lelaki dan lapan wanita dan siasatan lanjut masih lagi berjalan,” katanya. 


Oleh : Ain Nadhirah Basha

PAHANGMEDIA



Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 2 kali.


Kembali ke Atas