Berita

27 menara telekomunikasi baharu dibina di kawasan Jelai

RMS

LIPIS, 11 Oktober 2021 - Sebanyak 27 menara telekomunikasi baharu akan dibina di kawasan Dewan Negeri Jelai bagi meningkatkan keupayaan internet di kawasan berkenaan. YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selain itu sebanyak 39 menara sedia ada akan dinaiktaraf selain menyediakan 46 jalur lebar tanpa wayar khas untuk kawasan Jelai.

Beliau berkata, perkara ini merupakan suatu berita yang amat baik, kerana ia bukan sahaja akan meningkatkan lagi keupayaan digital rakyat di negeri ini, tetapi juga berupaya menjana pertumbuhan ekonomi di kawasan ini.

“Saya percaya, dengan keupayaan internet yang lebih meluas, ia juga akan memberikan kelebihan bagi anak-anak Jelai untuk mendapatkan maklumat dan informasi terkini dengan lebih pantas,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, selain daripada itu, Pusat Internet Komuniti yang sedia ada di kawasan ini juga dijenamakan semula sebagai Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia yang akan meneruskan operasi dengan lebih efisyen dan mantap untuk penduduk tempatan.

Beliau dalam masa yang sama turut mengucapkan terima kasih kepada YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia dan juga Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM) kerana sudi bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam penyediaan fasiliti bagi memastikan perkhidmatan digital yang lebih berkualiti dapat dirasai oleh penduduk Jelai. – PAHANGMEDIA

Halaman ini belum pernah dipaparkan.


Kembali ke Atas