Menarik di Lipis

Daerah Lipis merupakan daerah yang pernah menjadi ibu negeri Pahang yang pertama mulai tahun 1898 sebelum dipindahkan ke Kuantan pada tahun 1955. Menjengah ke Lipis, kita akan menemui kesan daripada penjajahan british yang masih dapat dilihat pada bangunan-bangunan kolonial di sekitar Bandar Lipis seperti Rumah Rehat Bukit Residen, Kompleks Pejabat Kerajaan, Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, Pahang Club dan lain-lain membuktikan bahawa suatu ketika dahulu pihak penjajah British pernah menduduki dan mentadbir Kuala Lipis.

Daerah Lipis mempunyai keistimewaannya yang tersendiri di mana pengunjung dapat melawati dan melihat kepelbagaian warisan yang terdapat di Lipis seperti tapak warisan geologi (Kompleks gua di Merapoh, Taman Rimba Kenong serta Gua Bama); warisan sejarah (Bandar Kuala Lipis) serta warisan budaya (kraftangan & kampung tradisional).

Menjejak jalur jalanan di Daerah Lipis pastinya akan digamit dengan destinasi pelancongan yang menjadi pilihan penggiat pencinta kehijauan alam flora dan fauna iaitu di Taman Rimba Kenong, Taman Negara Pahang, Sungai Relau di Merapoh yang menawarkan aktiviti penjelajahan gua, pendakian Gunung Tahan, pemerhatian ikan kelah, pemerhatian burung dan menikmati pemandangan puncak Gunung Tahan dari Menara Seraya.

Selain itu, Lipis juga amat terkenal dengan makanan tardisional iaitu Gula Kabung yang dihasilkan oleh penduduk tempatan. Gula Kabung sering digunakan di dalam pelbagai masakan dan manisan seperti bubur kacang, pengat dan cendol.

Pengunjung juga tidak harus melepaskan peluang untuk menikmati keindahan semula jadi di Perkampungan Orang Asli Lata Senlui , Pos Lenjang dengan melakukan aktiviti menarik seperti mandi-manda di air terjun, berkelah dan hiking.

Tarikh Kemaskini: 23/07/2021 11:12:49

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 32 kali.


Kembali ke Atas