Berita

Guna wang masjid ikut syarak

RMS

KUALA LIPIS, 27 Februari 2018 bersamaan 11 Jamadilakhir 1439 Hijrah – Dana masjid termasuk sumbangan orang ramai perlu digunakan mengikut syarak dalam usaha memperkasakan pengurusan masjid dan umat Islam di negeri ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah, perkara berkenaan telah dimaklumkan kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

“Ahli jawatankuasa masjid telah dihantar berkursus termasuk menguasai tatacara pengurusan dana masjid agar kaedah penggunaan dan kuasa belanja menepati kehendak syarak.

“Saya dapat laporan berkenaan dana masjid tak diguna kerana pihak pengurusan takut nak guna..patut gunakan (wang dana) untuk tujuan fardhu ain, kifayah, asnaf atau fisabilillah,” titah baginda Majlis Perasmian Masjid Padang Tengku dan Pengurniaan Sumbangan kepada golongan yang memerlukan di Masjid Padang Tengku, Kuala Lipis di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, baginda turut berkenan memberikan nama Masjid Padang Tengku sebagai Masjid Tengku Abdullah Ibni Sultan Ahmad Shah.

Pada majlis sama, baginda mencadangkan agar Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melaksanakan dua pendekatan iaitu mewujudkan sistem pengurusan E-akaun masjid dan garis panduan pengurusan kewangan berdasarkan pandangan jawatankuasa hukum.

“Dengan cara ini, tidak akan timbul fitnah ataupun isu penyalahgunaan atau penyelewengan duit tabung masjid berlaku terutamanya di negeri Pahang ini,” katanya.

Dalam pada itu, baginda turut menyeru agar semua umat Islam bersatu bagi mengukuhkan lagi silaturahim yang kian terhakis akibat perbalahan politik dan cetusan isu perkauman pihak tidak bertanggungjawab.

“Jika tidak (bersatu), kita akan jadi bangsa yang berpecah belah. Jadikan pertemuan antara kita semua sebagai platform perpaduan. Ibarat pepatah, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana maufakat.

“Pembinaan masjid ini akan berterusan…setakat ni Pahang ada lebih 500 buah masjid di setiap daerah, mukim dan kampung.

“Ia bertujuan (pembinaan) agar rakyat negeri Pahang selesa beribadat, sentiasa bertakwa, membina keimanan, rapatkan ukhuwah antara ummah tambahan anak muda masa kini begitu terdedah dengan pelbagai ancaman sosial,” titah baginda.

Hadir sama mencemar duli, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia, Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Yang DiPertua MUIP, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, Sahibus Samahah Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr Haji Abdul Rahman Haji Osman dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail serta barisan kepimpinan di peringkat negeri dan daerah.

Sumber : http://www.dirajapahang.my/por...

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 33 kali.


Kembali ke Atas