Berita

Perhimpunan Bulanan, Majlis Penghargaan dan Sanjungan Budi Pejabat Daerah dan Tanah Lipis

RMS

LIPIS, 23 Oktober 2020 - Perhimpunan dan Majlis Penghargaan dan Sanjungan Budi Pejabat Daerah dan Tanah Lipis telah diadakan di Dewan Residen Kuala Lipis kira-kira jam 3.00 petang. Majlis itu dihadiri oleh Pegawai Daerah, para pegawai dan staf Pejabat Daerah dan Tanah Lipis. Antara objektif majlis ini adalah sebagai tanda penghargaan di atas jasa dan khidmat bakti pegawai yang telah bertukar ke jabatan lain. 

Majlis dimulakan dengan perhimpunan bulanan iaitu merupakan program bulanan di Pejabat Daerah dan Tanah Lipis. Pegawai Daerah, Dato' Mohd Hafizi bin Ibrahim dalam ucapannya menyeru staf agar memahami cogankata jabatan iaitu "Perkhidmatan Berteraskan Pencapaian". Beliau berharap perkhidmatan yang diberikan oleh jabatan kepada komuniti dan masyarakat Daerah Lipis akan terus dipertingkatkan.

Pertukaran di dalam perkhidmatan awam adalah perkara yang pasti akan dilalui oleh mana-mana pegawai. Ketua Penolong Pegawai Daerah Bahagian Pengurusan Tanah, Encik Azmil Hadid bin Maznan antara pegawai yang telah bertukar ke jabatan baru iaitu Pejabat Daerah dan Tanah Bentong. Selain itu, sebanyak 11 orang pegawai turut bertukar jabatan di dalam dan luar daerah Lipis sepanjang penghujung 2019 sehingga Oktober 2020.

Majlis turut menyampaikan Anugerah Pekerja Terbaik Bulanan bagi bulan Februari sehingga Oktober tahun 2020. Anugerah ini disampaikan kepada staf Pejabat Daerah dan Tanah Lipis yang telah menunjukkan prestasi dan ia telah dinilai melalui undian. Diharapkan dengan anugerah ini, staf di jabatan akan lebih berdaya saing bagi meningkatkan keupayaan diri seiring hasrat perkhidmatan awam.

Majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian oleh Kumpulan Matakaji yang dianggotai oleh staf Pejabat Daerah dan Tanah Lipis. Ini merupakan penampilan mereka buat julung kalinya. Hadirin telah disajikan dengan dendangan lagu Mungkin Nanti (Peterpan) dan Hati Emas (M. Nasir).

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 2 kali.


Kembali ke Atas