Berita

Pemangku Raja Pahang putera raja pertama sampai ke puncak Gunung Tahan

RMS

LIPIS, 4 Ogos 2020 - Pemangku Raja Pahang, KDYMM Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjadi putera raja pertama berjaya sampai ke puncak Gunung Tahan di Lipis dekat sini yang merupakan gunung tertinggi di Semenanjung. Menerusi Eksesais Kembara Makmur, ekspedisi memanjat gunung berkenaan bermula pada 1 Ogos lalu dan berakhir hari ini.

Eksesais itu disertai lebih 60 orang terdiri daripada pegawai dan anggota 12 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize), Unit Tindakan Khas dan kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri. Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin merakamkan ucapan tahniah kepada KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di atas kejayaan menawan puncak gunung berkenaan.

Menurutnya, beliau berbangga dengan kejayaan Pemangku Raja Pahang sampai ke puncak Gunung Tahan yang setinggi 2,187 meter. "Eksesais Kembara Makmur berjaya mencipta rekod KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah putera raja pertama berjaya menawan puncak Gunung Tahan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, kejayaan Pemangku Raja Pahang merupakan satu titik tolak menunjukkan baginda begitu menyokong pelancongan domestik apabila menjadikan Gunung Tahan sebagai destinasi pilihan. Diharap, dengan aktiviti sebegini dapat merancakkan lagi pelancongan domestik negara dan pelancongan negeri Pahang khasnya," katanya.

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 22 kali.


Kembali ke Atas