Berita

Pahang lulus 127.893 hektar Hutan Simpanan Kekal (Hsk) Sungai Yu

RMS

KUANTAN, 27 November 2019, Kerajaan Negeri meluluskan kawasan seluas kira-kira 127.893 hektar di Sungai Yu, Mukim Batu Yon, Lipis sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) demi melindungi hidupan liar termasuk Harimau Malaya.

Dengan ini, ia akan dapat menghubungkannya dengan HSK-HSK sedia ada iaitu HSK Ulu Jelai dan HSK Tanum, seterusnya membentuk apa yang dikenali sebagai Koridor Ekologi di bawah Pelan Induk Ekologi (CFS 1) yang terlibat secara langsung dengan rangkaian ‘Central Forest Spine’ (CFS).

Keputusan ‘mesra-alam’ dan ‘mesra-hidupan liar’ ini dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang saya pengerusikan pagi Rabu, 27 November di Wisma Sri Pahang di sini.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga bersetuju menutup Jalan Lama Sungai Yu sepanjang kira-kira 5.2 KM di situ, serta merizabkan Tanah Kerajaan seluas kira-kira 2.05 hektar sebagai Pusat Pembangunan, Penyelidikan dan Pusat Sehenti CFS Negeri Pahang.

Mengenai penutupan Jalan Lama Sungai Yu, ia wajar kerana jalan ini sudah jarang digunakan penduduk kampung berkenaan berikutan siapnya ‘Central Spine Road’ di kawasan itu.

Kalaupun Jalan Lama Sungai Yu ini digunakan, ia hanya sebagai jalan alternatif untuk mereka ke kebun-kebun masing-masing.

Penutupannya juga wajar berdasarkan cadangan oleh Perikatan Pemuliharaan Harimau Malaysia (MYCAT) – sebuah gabungan badan-badan bukan Kerajaan melibatkan Malaysian Nature Society (MNS), Traffic South East Asia, Wildlife Conservation Society-Malaysia Programme dan World Wildlife Fund (WWF)-Malaysia.

MYCAT memaklumkan bahawa, terdapat laporan menyatakan pemburu haram, penceroboh tanah dan pembalak haram menggunakan Jalan Lama Sungai Yu untuk menjalankan aktiviti-aktiviti tidak sihat mereka.

Dengan penutupan Jalan Lama Sungai Yu dapat menghindarkan kemasukan secara mudah oleh pemburu haram, penceroboh hutan dan pembalak haram ke kawasan hutan bersebelahan ‘Eco-Viaduct’ – projek Kerajaan Persekutuan bernilai RM 60 juta di situ.

Menurut MYCAT, memang terdapat bukti bahawa harimau belang – Harimau Malaya, serta hidupan liar lain menggunakan ‘Eco-Viaduct’ ini dalam tempoh antara Februari dan April lepas (2019) yang menjadi sasaran bagi pemburu-pemburu haram.

Oleh itu tepatlah keputusan Kerajaan Negeri ini yang dengannya juga, membuktikan komitmen tinggi Kerajaan Negeri bagi menjayakan Pelan Induk CFS yang dihasilkan menurut keperluan harimau belang yang memerlukan landskap hutan yang luas dan bersambung, terutamanya di Pahang.

Mengenai keputusan merizabkan Tanah Kerajaan seluas kira-kira 2.05 hektar sebagai Pusat Pembangunan, Penyelidikan dan Pusat Sehenti CFS Negeri Pahang, ia melibatkan Taman Rekreasi Sungai Yu sedia ada.

Keputusan ini dibuat memandangkan kemudahan asas yang terdapat di Taman Rekreasi Sungai Yu telahpun uzur selain tahap kebersihannya kurang memuaskan akibat daripada peningkatan jumlah pelawat pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.

Dengan menjadikan Taman Rekreasi ini sebagai Pusat Pembangunan, Penyelidikan dan Pusat Sehenti CFS Negeri Pahang akan dapat memberi peluang kepada para penyelidik – dalam dan luar negara, untuk membuat penyelidikan berkaitan hutan serta flora dan fauna negeri ini.

Menerusinya juga, kerja-kerja menguruskan koridor ekologi CFS Negeri Pahang dapat dilakukan dengan lebih cekap termasuk aspek kewangan, menerusi fi penyelidikan yang bakal dikenakan.

DATO’ SRI WAN ROSDY WAN ISMAIL Menteri Besar Pahang

Sumber : https://www.facebook.com/pahang.gov/photos/a.633170600456509/821410824965818/?type=3&theater

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 58 kali.


Kembali ke Atas