Berita

Moga Tarmizi berjaya ditemui

RMS


LIPIS, 16 Ogos - Seorang renjer hutan dilaporkan hilang selepas menyertai aktiviti kaji selidik harimau di Hutan Simpan Yong dalam kawasan Taman Negara di Jerantut sejak Sabtu lalu. Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Sani Harul berkata, laporan kehilangan mangsa, Tarmizi Ahmad Japli, 30, yang bertugas di Pejabat PERHILITAN Kota Bharu diterima kelmarin sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan. Beliau berkata, laporan awal mendapati mangsa dikatakan terbabit dengan Kajian Program Harimau Kebangsaan Kali-Pertama (1st National Tiger Survey) yang bermula di FELDA Kechau 11, Lipis.

Katanya, seramai tujuh individu terbabit dengan program berkenaan termasuk mangsa. “Berdasarkan keterangan rakan mangsa, lima kru dalam perjalanan pulang ke tapak perkhemahan di mana tiga kru melalui laluan permatang dan dua lagi melalui laluan sungai untuk menarik keluar kamera.“Bagaimanapun, mangsa dan rakannya yang melalui laluan sungai dikatakan terpisah sebelum disedari rakan angsa,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Sani berkata, operasi SAR yang memasuki hari kedua membabitkan 10 pegawai dan anggota bomba, 13 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 25 anggota PERHILITAN bersama orang awam. Katanya, operasi SAR memfokuskan kepada lokasi terakhir mangsa serta mencari beberapa petunjuk yang boleh digunakan untuk mengesan renjer berkenaan.


Sumber : https://www.hmetro.com.my/muta...

                                                                                                   Gambar: Operasi SAR memfokuskan kepada lokasi terakhir mangsa

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 48 kali.


Kembali ke Atas