Berita

Lega dan gembira terima sumbangan Menteri Besar Pahang

RMS

LIPIS, 11 Januari 2020 - Perasaan lega dan gembira terukir di wajah Encik Ahmad Khalidan Mohamad semasa menerima sumbangan mewakili cucunya yang kurang upaya daripada Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail hari ini. Ahmad Khalidan, 61, yang menjaga Muhammmad Aiman Abdullah, 15, sejak lahir berkata, sumbangan ini akan digunakan untuk rawatan cucunya di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

"Terima kasih YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy atas sumbangan yang amat besar maknanya kepada kami ini. Sumbangan ini dapat mengurangkan beban kewangan keluarga kami dalam rawatan Aiman. "Kami menghabiskan kira-kira RM600 bagi setiap perjalanan pergi dan balik daripada Kuala Lipis ke HTAA setiap tiga bulan sekali kerana terpaksa menyewa kereta," katanya ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra YAB Menteri Besar Pahang Bersama-sama Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka, Penyampaian Notis 5A Serta Suratan Hak Milik Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Fasa 1,2,3, dan 4 di Perkarangan Masjid Kampung Batu Sembilan, Mukim Cheka di sini hari ini.

Ahmad Khalidan antara enam penerima yang menerima sumbangan disampaikan sendiri oleh Menteri Besar dengan jumlah keseluruhan RM30,000. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB Encik Abd. Rahim Muda; Ahli Parlimen Lipis, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB Dato’ Mustapa Haji Long; ADUN Cheka, YB. Encik Lee Ah Wong dan Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.

Beliau berkata, Aiman pada mulanya normal seperti kanak-kanak biasa namun menjadi kurang upaya setelah diserang penyakit sawan ketika berusia 13 tahun. "Doktor mengesyaki Aiman menghidap penyakit berkaitan saraf akibat serangan sawan dahulu sehingga menyebabkan dia bergantung harap kepada bantuan saya dan isteri sahaja untuk menguruskan diri. "Aiman tidak mampu berjalan dan saya akan membawa dia ke mana-mana menggunakan kerusi roda sahaja. Pertuturan Aiman juga adalah terbatas," katanya.

Disediakan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

Oleh : Ain Nadhirah Basha 

Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim dan Putera Falliq Hakim Suhairi

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 19 kali.


Kembali ke Atas