Berita

KDYMM SPBYDPA melawat mangsa banjir di Chegar Perah

RMS

LIPIS, 14 Julai 2020 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan melawat mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Chegar Perah, hari ini.

Al-Sultan Abdullah berangkat pada jam 3.45 petang dan disambut oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang (Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi) Dato' Sri Mohd Soffi bin Abdul Razak, Pegawai Daerah Lipis Dato' Mohd Hafizi bin Ibrahim dan Setiausaha Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang Dato' Ahmad Hairi bin Hussin.

Di dalam lawatan mengejut selama hampir 45 minit ini, Seri Paduka Baginda telah berkenan mengurniakan sumbangan wang tunai kepada mangsa-mangsa banjir untuk membantu meringankan bebanan akibat bencana banjir yang telah melanda rumah-rumah mereka sejak semalam (Isnin, 13 Julai, 2020).

Seri Paduka Baginda turut berkenan meluangkan masa beramah mesra dan berinteraksi bersama mangsa-mangsa banjir yang telah ditempatkan di PPS tersebut.

Keberangkatan mengejut Al-Sultan Abdullah hari ini mencerminkan keprihatinan tinggi Baginda terhadap mangsa-mangsa banjir dan golongan-golongan yang memerlukan bantuan. la juga mencerminkan keperibadian tinggi Seri Paduka menyantuni mangsa-mangsa banjir tersebut.

Seramai 265 mangsa dari 67 keluarga dari kawasan Chegar Perah Mukim Batu Yon 2 telah ditempatkan di PPS tersebut berikutan bencana banjir yang berpunca dari hujan lebat tanpa henti sejak semalam (Isnin, 13 Julai, 2020).

Walau bagaimanapun, tiada kecederaan dan kemalangan yang dialami oleh mangsa-mangsa yang terjejas akibat bencana banjir ini.

#agongkita #royal #malaysia #pahang #kualalipis

SumbER : FB Istana Negara

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 10 kali.


Kembali ke Atas