Berita

Insentif RM200 bagi pasangan berkahwin di Negeri Pahang

RMS

LIPIS, 11 Januari 2020 - Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.8 juta untuk bayaran insentif bagi perkahwinan kali pertama kepada rakyat negeri ini bermula 1 Januari. Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan sebanyak RM200 ini akan diberikan kepada setiap pasangan tertakluk kepada syarat-syarat dan garis panduan yang ditentukan.

“Bayaran insentif khas ini adalah bagi pasangan pengantin lelaki yang merupakan rakyat Pahang, dan berpendapatan RM5,000 ke bawah.

“Insentif ini dijangka memberi manfaat kepada hampir 14,000 pasangan di negeri ini,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Ramah Mesra YAB Menteri Besar Pahang Bersama-sama Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Benta di Dewan Balora Benta di sini hari ini.

Turut hadir YB. Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Encik Abd. Rahim Muda; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram; Ahli Parlimen Lipis, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long; ADUN Cheka, YB. Encik Lee Ah Wong; Presiden MCA Pahang, Tan Sri Dato’ Sri Lam Kam Sang; dan Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.

Selain itu, beliau turut menyatakan enam lagi projek dan program khas akan dijalankan tahun ini dengan kos keseluruhan dianggarkan kira-kira RM39 juta.

YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, projek khas ini adalah berdasarkan keadaan kewangan negeri Pahang yang bertambah baik hasil pada tahun lepas.

Disediakan Oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

Oleh : Ain Nadhirah Basha 

Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim dan Putera Falliq Hakim Suhairi

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 22 kali.


Kembali ke Atas