Berita

Beri perhatian pada sekolah menengah agama dan tahfiz

RMS

KUALA LIPIS, 27 Februari 2018 2018 bersamaan 11 Jamadilakhir 1439 Hijrah – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah agar kerajaan memberi perhatian dan memperbanyakkan Sekolah Menengah Agama dan Maahad Tahfiz di negeri ini.

Baginda bertitah, selain usaha membaikpulih bangunan dan memantapkan pengurusan sedia ada, peruntukan bagi menambah bilangan sekolah aliran tersebut amat perlu bagi menampung keperluan rakyat di negeri ini.

“Berdasarkan kepada laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terdapat berpuluh-puluh Maahad Tahfiz yang tidak terbela.

“Jadi saya harap keprihatinan kerajaan negeri dan pusat memberikan sokongan dan bantuan kepada maahad tahfiz dan Sekolah Menengah Agama agar mereka dapat menambah baik infrastruktur dan memperkemaskan kaedah pembelajaran,” titah baginda  pada majlis ramah mesra bersama pelajar dan kakitangan Sekolah Menengah Agama Al-Maidah Addiniah Padang Tengku di sini hari ini.

Tengku Abdullah bertitah, pada masa ini terdapat kira-kira 22 buah sekolah menengah agama di negeri ini termasuklah 18 buah sekolah yang dikendalikan kerajaan negeri dan empat sekolah di bawah kendalian Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

“Walaupun terdapat 22 buah sekolah menengah agama, saya masih rasa tidak mencukupi kerana minat dan sokongan masyarakat amat menyerlah sehingga kerajaan negeri terpaksa menolak sebahagian besar permohonan.

“Saya berharap suatu hari nanti kerajaan negeri Pahang mahupun MUIP mencari jalan untuk menambah bukan sahaja sekolah agama tetapi juga maahad tahfiz di negeri ini,” titah baginda.

Dalam pada itu,  beliau berkata, perjalanan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) di bawah Yayasan Pahang telah berjaya menjadikannya institusi yang menyerlah di negara ini.

Sehubungan itu baginda bertitah supaya kaedah pembelajaran MTNP itu  diguna pakai di maahad tahfiz lain.

“Kita juga cuba berusaha supaya maahad tahfiz ini dibuka cawangannya di kawasan Pahang Barat agar anak-anak kita menjadi  penuntut yang serba lengkap,” titah baginda.

Turut bersama mencemar duli, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia, Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj

Hadir sama, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Adnan Haji Yaakob, Yang DiPertua MUIP, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Haji Abdul Wahid Wan Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Dahwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran Negeri, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, YB Ahli Parlimen Lipis, Dato’ Haji Abdul Rahman Mohamad, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail, YB Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Tengku, Dato’ Mustapa Long, serta barisan kepimpinan di peringkat negeri dan daerah.

Pada majlis berkenaan, baginda turut berkenaan menyampaikan kurniaan sumbangan kepada 700 pelajar SMA Al-Maidah Addiniah.

Sebelum itu, baginda berangkat bercemar duli berangkat ke Majlis Daerah Lipis (MDL) pada pukul 11.30 tengahari.

Baginda berada di sana kira-kira dua jam bagi mendengar taklimat berkenaan pembangunan daerah Lipis serta beramah mesra dengan pegawai dan kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Lipis.

Baginda akan berada di daerah Lipis  sehingga petang esok bagi lawatan kerja dua hari.


Sumber : http://www.dirajapahang.my/por...

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 32 kali.


Kembali ke Atas