Berita

Anak yatim, kakitangan PKAYIA teruja terokai Gua Bama

RMS

LIPIS, 8 November 2020 -  Mendaki bukit atau gunung dan juga bereksplorasi di dalam gua merupakan aktiviti ekstrem yang kerap dilakukan oleh penggiat alam sekitar dan para pelajar menerusi kegiatan cuti hujung minggu dan hari tertentu. Begitulah pengalaman yang ditempuh 60 orang pelajar dan kakitangan asrama cemerlang Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam Al-Ihsan (PKAYIA) Lipis ketika mendaki bukit batu kapur dan mengadakan eksplorasi di Gua Bama, Kampung Relong dekat sini hari ini.

Nilai kerjasama ketika mendaki dan bereksplorasi menitip sikap mereka khususnya dalam kalangan pelajar yang terdiri daripada anak yatim supaya lebih bersabar, bersemangat dan berusaha menjadi insan yang cemerlang. Untuk maklumat, bukit batu kapur Gua Bama setinggi 244 meter merupakan destinasi pelancongan daerah ini yang menyimpan sejarah Tok Linggi dan pembukaan Kampung Relong malahan ketika berada di puncak, pengunjung berpeluang melihat saujana pemandangan Kampung Relong, Kampung Bapong, Kampung Berchang dan Kampung Berang.

Penyelaras program kegiatan luar asrama PKAYIA, Muhamad Hairiri Abdul Majid berkata, pengurusan asrama anak yatim berkenaan memilih cuti hujung minggu bagi memberikan peluang peserta (pelajar) berekreasi dan beriadah di luar. "Kita memberikan peluang pelajar berkenaan menyertai kegiatan ekstrem yang menarik ini sekali gus menguji kekuatan mental dan fizikal di samping mempelajari nilai sejarah pembukaan Kampung Relong dan cerita legenda yang terbit daripada peristiwa di Gua Bama ini.

"Lebih menarik, turut serta mendaki ini seramai 15 orang penduduk Kampung Relong yang terdiri daripada kalangan wanita berusia antara 50 hingga 70 tahun yang juga ahli Kelab Nadi Peninjau supaya membantu memberi pencerahan maklumat mengenai peristiwa sejarah di gua ini," katanya di Kampung Relong, Lipis hari ini. Yang turut menyertai aktiviti tersebut, iaitu isteri ADUN Padang Tengku, Datuk Mustapa Long, iaitu Datin Hamiezah Hamzah dan Bendahari PKAYIA Lipis, Norlisa Khalimi

Muhamad Hairiri yang juga Naib Yang di Pertua PKAYIA selanjutnya menambah pendedahan aktiviti itu juga mampu menjana pemahaman serta kesedaran pelajar supaya menjaga keindahan alam sekitar lebih lagi Gua Bama itu antara destinasi pelancongan kerap disinggahi pelawat domestik.

Dalam pada itu, Pengurus Asrama Cemerlang PKAYIA, Siti Najihah Amney Noor berkata, program kegiatan luar anak yatim asrama itu untuk memberikan suasana keceriaan pelajar itu berasaskan kegiatan rekreasi dan riadah serta pada masa yang sama dapat menitip pengetahuan tertentu. "Ini merupakan program sosial yang disusun supaya anak yatim yang berusia remaja ini selalu ceria, bersemangat melalui pengalaman yang diperoleh menerusi aktiviti di sesebuah kawasan pelancongan di samping kerap berhubung dengan masyarakat setempat," katanya.

Siti Najihah berkata, lebih menarik selepas penat mendaki dan bereksplorasi hampir lima jam di Gua Bama, pelajar dan kakitangan PKAYIA telah dijamu makan tengah hari oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Relong, Ishak Mohammad. Sementara itu, seorang anak yatim, Nuratirah Maisarah Muhd Nordin, 15, berkata, dia dan rakannya cukup teruja apabila pertama kali berpeluang mendaki bukit kapur dan menjelajah Gua Bama yang disifatkan banyak artifak sejarah yang masih belum dikaji sepenuhnya.

"Apapun saya sangat gembira memperoleh pengalaman serta pengetahuan sejarah di gua ini dan berhasrat untuk mengulangi aktiviti yang sama pada masa akan datang. "Aktiviti bercorak ekstrem ini mampu memberikan kecergasan fizikal dan kita lebih berfikiran positif tatkala menempuh cabaran khususnya mendidik kami sebagai insan anak yatim menjalani kehidupan mencabar serta kerjaya pada masa akan datang," ujarnya.

Sumber: Pahang Story

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 7 kali.


Kembali ke Atas