Berita

500 bakul makanan untuk masyarakat Orang Asli Pos Lenjang, Pos Titom

RMS

LIPIS, 31 Julai 2020 - Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang mengagihkan 500 bakul makanan kepada ketua isi rumah (KIR) masyarakat Orang Asli di Pos Lenjang dan Pos Titom, yang terputus hubungan, berikutan kejadian kepala air yang menyebabkan kejadian banjir lumpur, Sabtu lalu. Pengarahnya, Johari Alwi, berkata peruntukan JAKOA Malaysia sebanyak RM200,000 di bawah bantuan darurat diterima untuk menyediakan bantuan keperluan asas yang diagihkan secara berperingkat kepada penduduk Orang Asli di dua penempatan terbabit.

Katanya, bantuan fasa pertama sudah diagihkan semalam dan fasa kedua akan menyusul selepas ini, ia merangkumi keperluan asas seperti beras, gula, kopi, sardin dan minyak masak bagi meringankan beban penduduk setempat. "Sebelum ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang menyampaikan bantuan bencana seberat 10 tan bernilai RM85,000 peruntukan kerajaan negeri yang dihantar menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ke Pos Lenjang," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Johari berkata, tumpuan kini membabitkan kerja membina jambatan sementara menyeberangi Sungai Sir di Pos Lenjang yang telah musnah. "Kerja membina jambatan sementara kini giat dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), namun tidak pasti bila akan siap sepenuhnya, kesukaran membawa peralatan berikutan perjalanan jauh menjadi antara faktor berlakunya kelewatan. "Saya berharap penduduk di Pos Lenjang dan Pos Titom dapat bersabar dengan musibah yang berlaku.

JAKOA selaku agensi bertanggungjawab terhadap kebajikan Orang Asli, berusaha membantu penduduk terbabit," katanya. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menyalurkan peruntukan bencana untuk penduduk Pos Lenjang dan Pos Titom. Katanya, kelmarin Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (PKLB) Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus turut melawat tempat kejadian selain turut bertemu masyarakat setempat.

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 27 kali.


Kembali ke Atas