Berita

50 anak yatim PKAYIA Lipis terima sumbangan daripada Ko-Makmur Kuantan, Mara Pahang dan Rural Capital Berhad

RMS

LIPIS 28 September 2020 - Tergambar perasaan gembira dan ceria malah tidak terungkap dengan kata-kata seramai 50 orang anak yakim di bawah jagaan Pertubuhan Anak-anak Yatim Islam Al-Ihsan (PKAYIA) Lipis apabila menerima sumbangan sebuah van sekolah dan sumbangan zakat dalam satu majlis di asrama PKAYIA Sungai Kerpan di sini kelmarin. Van sekolah bernilai RM43,000 merupakan sumbangan Koperasi Muafakat Makmur Berhad (Ko-Makmur) bersama Makmur Gold Holding Sdn. Bhd, Kuantan manakala Rural Capital Berhad sebuah syarikat di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyumbangkan wang zakat bernilai RM5,000 dan sejumlah RM6,000 untuk pengurusan asrama PKAYIA Lipis.

Pencetus Ummah (PU) terkenal negeri ini, Nor Hamizi Jamaludin mewakili pewakaf menyampaikan replika kunci van sekolah kepada Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar (PLB) Satu, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yang juga Ahli Parlimen Lipis merangkap Yang Dipertua PKAYIA yang hadir di majlis tersebut.

Manakala pada majlis yang sama, Mara Pahang menerusi Program MARA Prihatin@Lipis, Rural Capital Berhad sebuah syarikat di bawah Ibu Pejabat Mara Kuala Lumpur turut menyumbangkan wang zakat bernilai RM11,000 untuk pengurusan dan kebajikan anak yatim asrama tersebut yang disempurnakan oleh Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad kepada Timbalan Yang di Pertua PKAYIA, Datuk Ali Parto serta disaksikan oleh Pengarah Mara Pahang, Raja Sarimah Raja Jamaluddin.

Abdul Rahman dan Raja Sarimah juga turut meluangkan masa bergotong-royong bersama seramai 30 orang kakitangan pejabat Mara Pahang membersihkan persekitaran kawasan dan mengecat premis asrama serta pejabat pengurusan PKAYIA Lipis di Sungai Kerpan.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Mustapa Long; Setiausaha Koperasi Muafakat Makmur Berhad (Ko-Makmur) Kuantan, Mohd Khairul Azam Awang; Naib Yang di Pertua PKAYIA Lipis, Muhamad Hariri Abdul Majid; Pengurus asrama PKAYIA, Siti Najihah Amney Noor dan ahli jawatankuasa pertubuhan tersebut.

Menurut Abdul Rahman, beliau dan pengurusan PKAYIA berterima kasih kepada Ko-Makmur, Mara Pahang dan Rural Capital Berhad atas amal jariah berkenaan kerana cukup signifikan dapat menceriakan anak yatim di asrama tersebut, iaitu kemudahan berulang alik ke sekolah, pengurusan asrama termasuk makanan.

"Kehidupan anak-anak yatim ini termasuk pentadbiran asrama dibiayai sepenuhnya menerusi ihsan dana daripada dermawan luar dan sekitar Lipis termasuk pemimpin setempat malahan sumbangan ketiga agensi berkenaan hari ini sebagai tanggungjawab sosial mampu meringankan beban pengurusan PKAYIA.

"Saya selaku Ahli Parlimen Lipis dan rakan-rakan pemimpin setempat sentiasa memantau serta memberikan bantuan sekadar termampu untuk melancarkan pengurusan asrama ini yang kini menampung jumlah permintaan urusan kebajikan dan tempat tinggal yang semakin ramai dalam kalangan anak yatim di Lipis," katanya.

Sementara itu, Siti Najihah Amney berkata, selaku dimanahkan sebagai pengurus asrama di situ, dia amat bersyukur dan gembira menerusi sumbangan amal jariah agensi tersebut kerana dapat meringankan pengurusan PKIAYIA khususnya pengangkutan, pembiayaan makanan dan kebajikan anak yatim.

"Sejak sembilan tahun asrama anak yatim cemerlang dibuka, kita cuma menggunakan pengangkutan sebuah van yang uzur dan kerap rosak sehingga mengganggu urusan pengangkutan ke sekolah termasuk kegiatan kemasyarakatan di luar sekali gus memerlukan kos membaiki kerosakan dan menyewa kenderaan lain.

"Alhamdulillah, sumbangan van sekolah dan wang zakat cukup bermakna bagi anak yatim asrama ini dan bagi pihak pengurusan sendiri amat bersyukur kerana amal jariah agensi tersebut dapat meringankan beban kewangan, manakala anak yatim sendiri lebih bersemangat untuk belajar supaya menjadi insan yang soleh dan cemerlang pada masa akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Hariri berkata, jawatankuasa pengurusan PKAYIA berterima kasih kepada Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yang juga Ahli Parlimen Lipis yang kerap mengambil berat hal pengurusan asrama PKAYIA termasuk kebajikan anak yatim di sini sejak pertubuhan bukan kerajaan ini yang mula didaftarkan pada 2003.

"Kita cuma dapat menampung seramai 20 orang anak yatim tinggal di asrama ini daripada 112 orang yang berdaftar dengan PKAYIA yang masih memerlukan pembelaan kebajikan kerana premis ini kecil dan tidak mampu menampung jumlah yang ramai," ujarnya.

Tambahnya, orang ramai dan dermawan yang ingin beramal jariah untuk membantu pengurusan PKAYIA bolehlah menyumbang menerusi akaun Pertubuhan Anak-anak Yatim Islam Al-Ihsan menerusi akaun Maybank Islamic bernombor 556114208650, BSN (0600641000036776), Bank Rakyat (22-134-102256-4) atau menghubungi PKAYIA di talian 09-3101160.

Sumber : PahangStory

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 2 kali.


Kembali ke Atas