Berita

110 anak yatim, asnaf terima sumbangan

RMS

KUALA LIPIS, 18 Jun 2017 - Sambutan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba bagi 110 anak yatim dan asnaf di Mukim Batu Yon Dua di sini akan lebih bermakna selepas mereka menerima sumbangan duit raya yang disampaikan oleh Tengku Arif Temenggong, Tengku Fahd Mua’adzam Sultan Ahmad Shah.

Kesemua anak yatim dan asnaf berkenaan menerima duit raya RM100 seorang dalam majlis berbuka puasa di Kampung Merapoh di sini kelmarin.Pada majlis berkenaan, Tengku Fadh turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 10 orang penduduk kurang berkemampuan termasuk warga emas yang masing-masing menerima RM500 setiap seorang.

Yang hadir sama, Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long; Pegawai Daerah Lipis, Datuk A. Rahman Hamzah dan Penghulu Mukim Batu Yon Dua, Mohd. Nor Ilyas Zuhdy.

Seorang warga emas, Aziz Zakaria, 60, berkata, dia berterima kasih kepada Tengku Fadh kerana sudi hadir pada majlis berbuka puasa di kampung berkenaan. “Saya bersyukur menerima sumbangan duit raya ini yang sebahagian daripadanya saya akan guna untuk persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri dan selebihnya untuk simpanan pada waktu kecemasan.

“Penduduk di sini bertuah kerana dapat berjumpa dengan Tengku Fadh yang begitu prihatin untuk membantu kebajikan kami,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Merapoh di sini kelmarin.

Seorang anak yatim, Rizal Helmi Yaakob, 12, berkata, dia akan menggunakan sumbangan duit raya yang diterimanya untuk membeli pakaian hari raya. “Sumbangan ini mampu meringankan beban datuk yang kini menjaga saya dan saya berterima kasih kepada Tengku Fadh yang banyak memberikan nasihat supaya saya belajar bersungguh-sungguh,” katanya.

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/pahang/110-anak- yatim-asnaf-terima-sumbangan-1.494695#ixzz4lLue9I1s

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 47 kali.


Kembali ke Atas