Berita

101 peneroka FELDA Kechau 1 terima hakmilik masing-masing

RMS

LIPIS, 10 November 2019 -  Kerajaan Negeri menyampaikan surat hak milik tanah kepada 101 peneroka FELDA Kechau 1 manakala baki 25 lagi akan diberikan sejurus beberapa masalah teknikal berjaya diselesaikan. Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kesemua peneroka berkenaan menerima hak milik tanah seluas kira-kira 10 ekar bagi setiap peneroka.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada para peneroka kerana telah mendapat geran hak milik tanah bagi kebun seluas 10 ekar dan suku ekar bagi tapak rumah.

“Bagi 25 peneroka lagi yang belum mendapat hak milik tanah, kita akan selesaikan masalah ini dalam tempoh tiga hingga empat bulan lagi,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra YAB Menteri Besar Pahang Bersama-sama Pemimpin dan Masyarakat DUN Padang Tengku Serta Penyampaian Suratan Hak Milik Peneroka Felda Kechau 1 di Dewan Orang Ramai FELDA Kechau 1, di sini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Nazri Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB Dato’ Mustapa Haji Long; Ahli Parlimen Lipis, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad dan Pegawai Daerah Lipis, YH Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.

Selain itu, beliau turut mengingatkan peneroka supaya membayar cukai tanah selepas ini bagi membantu hasil kutipan kerajaan negeri.

“Yang dapat tanah hari ini diharap akan bayar cukai tanah... Kita terpaksa kutip balik duit cukai tanah ini sebab ia akan dikembalikan semula kepada rakyat.

“Audit bagi satu penghargaan kepada kerajaan negeri baru-baru ini sebab berjaya meningkatkan hasil kutipan negeri Pahang sebanyak RM1.1 juta bagi tahun ini,” katanya.

Dalam majlis yang sama, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy turut menyampaikan sumbangan daripada kerajaan negeri berjumlah RM75,000 kepada 13 penerima di DUN Lipis.

Beliau juga turut meluluskan peruntukan berjumlah RM120,000 bagi tiga projek pembangunan masyarakat di FELDA Kechau 1.

“Bagi permohonan membina Dataran Kejat, kita bersetuju memberi RM100,000, bagi pembinaan gelanggang bola tampar untuk belia pula kita bersetuju memberi RM15,000 dan RM5,000 lagi bagi pembelian pakaian untuk kumpulan marhaban FELDA ini,” katanya.

Sumber: Facebook Kerajaan Negeri Pahang

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 16 kali.


Kembali ke Atas