Sekolah Menengah Clifford (1913)

Sekolah Menengah Clifford merupakan sebuah sekolah Inggeris kerajaan yang tertua di Negeri Pahang yang di bina pada tahun 1913. Sebelum itu,sekolah ini telah dikenali sebagai Government English School. Kemudian,dikenali pula sebagai Anglo Chinese School dan akhirnya sebagai Clifford School. Pada masa itu,bangunannya hanya berupa sebuah rumah kayu kecil dan beratapkan nipah. Ia dibina di tebing Sungai Jelai. 

Pada tahun 1918 sekolah tersebut mempunyai 12 orang pelajar lelaki. Kemudian jumlah pelajar bertambah kepada 200 orang dan sekolah ini telah berpindah ke kawasan yang ada sekarang. Pada tahun 1919 sebuah bangunan telah dibina di tengah-tengah padang sekolah pada masa itu,namun telah musnah dilanda banjir besar pada tahun 1926. Bangunan sekolah yang digunakan pada masa itu hanyalah bangunan-bangunan kayu. Memandangkan sekolah ini merupakan institusi pelajaran terbesar di Negeri Pahang ,bangunan Malay Hostel 1926 dan bangunan induk berbentuk D telah dibina,untuk menempatkan para pelajar.

Apabila terbinanya bangunan hostel, sekolah ini di anggap sebagai sekolah berasrama penuh(Boarding School) di Kuala Lipis oleh penduduk di Pahang. Pelajar-pelajar yang memasuki sekolah ini merupakan pelajar terpilih yang datangnya dari merata-rata tempat di seluruh Negeri Pahang. Perasmian sekolah ini,telah dibuat dalam tahun 1926 oleh Sir Hugh Clifford,yang merupakan Residen British Pahang. Pada tahun 1926 ,beliau telah menjadi Governor Of The Strait Settlements dan High Commisioner Of The Federated Malay States. Sekolah ini telah diabadikan dengan nama beliau selepas upacara itu. 

Guru Besar pertama disitu ialah Mr.V.N Bartlett. Sekolah ini telah mencatatkan sejarah sekolah pertama mengadakan School Certificate Class dalam tahun 1936. Penuntut yang menduduki peperiksaan Senior Cambridge adalah seramai 11 orang dan 9 orang mereka telah lulus peperiksaan tersebut. Di samping kecermerlangan yang di perolehi dalam bidang akademik, sekolah ini juga mencapai kejayaan yang membanggakan dalam bidang sukan. Pada zaman pemerintahan Jepun sekolah ini dijadikan markas tentera Jepun dan ibu pejabat Kempetai (Polis Rahsia Jepun). Terdapat sebuah tempat yang di percayai digunakan oleh tentera Jepun sebagai kubu untuk menangkis serangan pihak musuh. Selain itu,sebuah bilik darjah dijadikan tahanan penyiksaan sebelum seseorang tahanan dihantar ke Melaka yang kini merupakan bilik darjah pelajar-pelajar tingkatan 6. 

KDYMM Sultan Pahang,Sultan Haji Ahmad Shah,dan Tan Sri Ghazali Shafie merupakan antara bekas pelajar di sekolah ini. Mulai tahun 1949 padang sekolah dijadikan padang utama program rasmi Negeri Pahang seperti sambutan ulang tahun keputeraan KDYMM Sultan Abu Bakar dan sukan tahunan sekolah-sekolah Negeri Pahang pada tahun 1955. Penyanyi nombor 1 negara iaitu Dato’ Siti Nurhaliza binti Taruddin adalah bekas pelajar di sekolah Clifford.Beliau memulakan pelajaran ke Sekolah Menengah Clifford dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Sehingga sekarang Sekolah Clifford banyak menempa kemajuan dari zaman ke zaman dan telah melahirkan ramai penuntut yang memberi sumbangan besar kepada negara.

Tarikh Kemaskini: 26/11/2018 16:42:24

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 30 kali.


Kembali ke Atas