Pejabat Pentadbiran Daerah Lipis (1919)

Bangunan ini siap dibina pada tahun 1919 dan merupakan pusat pentadbiran utama bagi Negeri Pahang.  Bangunan ini menempatkan Pejabat Residen British dan pegawai-pegawai pentadbiran bagi Negeri Pahang di tingkat atas.  Manakala di bahagian bawah pula merupakan Pejabat Kutipan Hasil dan Perbendaharaan Kerajaan British.  Kuala Lipis pada ketika itu adalah daerah yang terbesar di Negeri Pahang kerana merangkumi Daerah Jerantut sekarang.  Selain itu, daerah ini merupakan satu daerah yang kaya dengan hasil-hasil emas, bijih, hasil-hasil dan getah.  

Apabila wujudnya jawatan Menteri Besar pada tahun 1948, pejabat Menteri Besar Negeri Pahang dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang ditempatkan di bangunan ini.  Dato’ Setia Wangsa Sir Mahmud bin Mat merupakan Menteri Besar Pahang yang pertama di kalangan orang Melayu bermula 1 Februari 1948 hingga 1 Februari 1951.  Nama beliau juga telah diabadikan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Setia Wangsa sekarang.  

Di antara Setiausaha Kerajaan Pahang yang pernah berkhidmat di situ ialah Dato’ Setia Raja Abu Samah bin Haji Mat pada 1948 hingga 1952, yang merupakan Setiausaha Kerajaan pertama dan Setiausaha Kerajaan Pahang yang kedua iaitu Orang Kaya Indera Shahbandar Abdul Razak Bin Dato’ Hussein.  Apabila Ibu Negeri dipindahkan ke Kuantan pada 27 Ogos 1955, pusat pentadbiran ini dijadikan Pejabat Daerah Lipis sehingga ke hari ini.

Terdapat sebuah bilik yang pernah menempatkan Sir Hugh Clifford menjalankan tugas sebagai Pentadbir Daerah Lipis.  Di bangunan itu juga terdapatnya mahkamah Daerah Lipis dan masih wujud sehingga sekarang walaupun tidak digunakan lagi.  Selain itu, di bahagian bawah terdapatnya sebuah Bank Perdagangan British yang dikenali sebagai Merchantile Bank.

Apabila terbinanya bangunan-bangunan tambahan, seluruh jabatan kerajaan yang terdapat di Lipis dihimpunkan di bawah satu kompleks.  Pada masa ini terdapat sebahagian jabatan-jabatan kerajaan masih berada di kompleks ini.


Tarikh Kemaskini: 26/11/2018 16:37:13

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 179 kali.


Kembali ke Atas