Sejarah Daerah Lipis

Daerah Lipis terletak di Barat Laut Negeri Pahang merupakan daerah ketiga terbesar di Pahang selepas Jerantut dan Rompin. Di daerah ini terletak bandar Kuala Lipis yang merupakan bekas ibu negeri Pahang. Kuala Lipis terletak dipertemuan Sungai Jelai dengan Sungai Lipis dan merupakan ibu negeri Pahang yang pertama mulai tahun 1898 sebelum dipindahkan ke Kuantan pada tahun 1955.

Ketika zaman penjajahan, British telah membina jalan asas yang menghubungkan Kuala Lipis dengan Kuala Lumpur sejauh 130 batu pada tahun 1890 bagi memudahkan pihak penjajah membawa keluar hasil bumi daerah ini. Bandar Kuala Lipis telah berkembang pesat sebagai pusat perdagangan di negeri Pahang dengan industri utamanya iaitu perlombongan bijih dan emas.

Pada tahun 1920, kerajaan British telah membina landasan keretapi yang menghubungkan Kuala Lipis dengan Gemas hingga ke Johor bertujuan untuk memudahkan pengangkutan hasil bijih ke pelabuhan. Kesan daripada penjajahan British masih dapat dilihat pada bangunan-bangunan Kolonial di sekitar Bandar Kuala Lipis seperti Rumah Rehat Bukit Residen, Kompleks Pejabat Kerajaan, Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, Pahang Club dan lain-lain yang mana jelas memaparkan senibina Kolonial yang membuktikan bahawa suatu ketika dahulu pihak penjajah British pernah menduduki dan mentadbir Kuala Lipis.

          

Asal Usul Kuala Lipis

Kuala Lipis terletak di Kuala Dua Batang Sungai iaitu Sungai Jelai dan Sungai Lipis. Ada dua cerita bagaimana Bandar ini mendapat namanya.

CERITA PERTAMA mengatakan bahawa nama Kuala Lipis berasal dari sejenis tumbuh-tumbuhan yang banyak terdapat di situ pada masa dahulu. Tumbuhan tersebut ialah serau lipis yang merupakan tumbuhan memanjat dan berbunga putih.

CERITA KEDUA, nama Kuala Lipis berasal daripada perkataan ‘lepas’.

Dahulu, sungai adalah alat perhubungan yang terpenting bagi masyarakat Melayu. Sungai Lipis dan Sungai Jelai membolehkan penduduk kampong di sepanjang sungai tersebut ‘lepas’ ke sana ke mari. Maksudnya, mereka bebas untuk ke mana-mana.

Jadi, apabila mereka berhajat untuk pergi ke bandar, mereka berkata; ‘Keh nok ke Kolepas (Kuala Lepas)’. Namun lama-kelamaan perkataan ‘lepas’ itu bertukar menjadi ‘lipis’ dan bandar itu pun dikenali sebagai Kuala Lipis atau Kolepih mengikut loghat orang-orang Kuala Lipis.


                          


Tarikh Kemaskini: 26/03/2018 10:15:37

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 135 kali.


Kembali ke Atas