Laman Web Rasmi PDT Lipis

Font Size

Cpanel

Kena harung 80km guna internet

LIPIS - Kebiasaannya dalam era kecanggihan teknologi kini segala maklumat semuanya berada di hujung jari namun bagi penduduk Orang Asli di Pos Lenjang dan Pos Titom dekat sini perlu mengharungi 80 kilometer untuk memperoleh capaian internet bagi mendapatkan informasi terkini.

Wakil penduduk Orang Asli dari Pos Lenjang, Norgiman a/l Tegos berkata, pada masa ini akses komunikasi dan informasi kira-kira 2,700 penduduk dari 13 kampung di pos berkenaan sangat terhad.

“Sekarang ni di kampung kami memang tak ada rangkaian internet, jadi sangat sukar bagi kami untuk dapat maklumat terkini apa yang sedang berlaku dalam negara. Pada masa ini penduduk di pos ini hanya bergantung kepada televisyen yang ada Njoi (Astro) untuk ikuti perkembangan semasa.

“Jadi, sekiranya nak guna internet kami perlu keluar pergi ke pekan Sungai Koyan dengan jarak dari kawasan pedalaman ini lebih kurang 40 kilometer yang akan makan masa hampir dua jam kalau naik kereta.

“Kalau pergi-balik sudah jadi 80 kilometer semata-mata hendak dapatkan rangkaian internet laju. Semua penduduk di sini juga tak mampu beli televisyen, boleh saya katakan terdapat separuh penduduk yang masih tiada televisyen,” katanya  pada majlis pelancaran program Menghubung Menyatu anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Pos Lenjang.

Program itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pada majlis pelancaran itu sebanyak 19 set televisyen dan dekoder Njoi (Astro) diberikan percuma kepada Tok Batin dan pemimpin Orang Asli dari Pos Lenjang dan Pos Titom selain 100 kotak berisi barangan keperluan makanan kepada penduduk Orang Asli di kawasan berkenaan.

Norgiman turut meminta pertimbangan kerajaan sekiranya boleh membina pencawang telekomunikasi di Pos Lenjang bagi memudahkan penduduk sekitar mendapatkan akses komunikasi secara berkesan.

Bagi Tok Batin Pos Titom, Ramli Bah Minhat berkata, kadang kala berlaku kejadian lambat mendapatkan pertolongan terhadap penduduk yang sakit berikutan sukar menghubungi pihak berkaitan di luar kerana kesukaran mendapatkan rangkaian telefon bagi membuat panggilan kecemasan.

“Jadi di sini saya sangat berharap sekiranya pihak kerajaan sudi membina pencawang telekomunikasi di Pos Titom yang mempunyai lebih 700 penduduk dari lima kampung di pos ini,” katanya.

Sumber : Sinar Harian Online (NORFARHIZA MOHD ATAR)